Ahad, 7 Jun 2020

Ahli Parlimen Bukit Gantang dilantik Pengerusi LKIM sebelum sertai Bersatu


Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang menyerahkan borang menyertai parti Bersatu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabat Muhyiddin di Putrajaya semalam merupakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang baharu sebelum menyertai parti itu.

LKIM mempamerkan poster ucapan alu-aluan terhadap Syed Abu Hussin Hafiz sebagai pengerusinya yang baharu pada 4 Jun lalu.

Harian Metro Edisi Ahad 31 Mei 2020 menyiarkan wawancara Syed Abu Hussin Hafiz sebagai Pengerusi LKIM berhubung hala tuju dan pembaharuan yang akan dilakukan oleh beliau bagi memperkasakan LKIM.

Sebelum itu pada 20 Mei lalu, Bernama melaporkan mengenai beliau sebagai Pengerusi LKIM menyampaikan bantuan prihatin COVID-19 kepada 10 nelayan di Matang, Bukit Gantang.

Dalam laporan Bernama itu beliau dipetik sebagai berkata, sebanyak 40 persatuan nelayan kawasan di negara ini berjaya memperoleh nilai jualan sebanyak RM6.7 juta menerusi kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD) bagi tempoh 1 April hingga 12 Mei lalu susulan Perintah Kawalan pergerakan (PKP).

Pada pilihan raya umum 2018, Syed Abu Hussin Hafiz bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang atas tiket Bebas setelah keluar daripada Umno pada tahun berkenaan.

Dalam pilihan raya itu beliau menentang Khadri Khalid (Bersatu) dan Idris Ahmad (Pas) dan menang dengan majoriti 4,089 undi.

Beliau yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Bebas, telah mengesahkan diri menyertai Bersatu dan berada dalam barisan penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama