Ahad, 7 Jun 2020

Ambil iktibar kegagalan negara luar tangani Covid-19, kata pelajar Malaysia di UK


Kelewatan mengambil tindakan segera terhadap penularan wabak Covid-19 merupakan suatu kegagalan besar di United Kingdom.

Demikian dinyatakan oleh Naib Presiden Kelab Bunga Raya, United Kingdom, Ahmad Hafizuddin Abdullah ketika ditemui selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari sebaik menjejak kaki ke tanah air.

Malah kata beliau kurangnya ketegasan dan penguatkuasaan kerajaan UK menyebabkan kematian yang meningkat walaupun penularan wabak tersebut telah bermula selama dua bulan sebelum tindakan ‘Lockdown’ diambil pada Mac yang lalu.

“Cuba bayangkan rakyat masih boleh bergerak bebas termasuk berpusu-pusu dan bersantai di pantai dan kelab-kelab hiburan dengan hanya dinasihatkan secara lisan tanpa penguatkuasaan undang-undang.

“Sebagai rakyat dan pelajar Malaysia, kami merasa bimbang dengan peningkatan angka kematian dan penularan wabak tersebut di sana termasuklah kelas pengajian di universiti diteruskan macam biasa pada Januari dan Februari.

“Hanya apabila semester hampir tamat dan kelas akan berakhir dalam beberapa minggu sahaja, barulah tindakan serius diambil oleh kerajaan UK dengan pengajian secara atas talian, namun begitu penularan wabak ini sudah berada pada tahap bahaya dan membimbangkan,” cerita beliau lagi.

Tambahnya, tiada ketegasan oleh kerajaan UK ketika itu amat membimbangkan para pelajar khususnya dari negara ini setelah melihat kematian demi kematian semakin meningkat di serata ceruk negara tersebut.

Walau bagaimanapun ujar beliau yang merupakan pelajar jurusan ekonomi, perniagaan dan kewangan di Universiti Brunel, London tindakan kuarantin yang dilaksanakan di UK hanyalah dengan nasihat supaya dikuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari dan bukannya di lokasi khusus sepertimana yang dilaksanakan di negara ini.

Beliau yang baru selesai dikuarantin di Hotel Royale Chulan, Seremban selama 14 hari pada minggu lepas menyeru supaya semua rakyat dalam negara ini menjadikan kematian dan peningkatan yang bercambah di negara luar sebagai satu iktibar serta berusaha semaksimum mungkin bagi memastikan penularan wabak Covid-19 tidak lagi menjadi penghalang kepada kedudukan maupun kestabilan ekonomi rakyat negara ini.

Tegas beliau lagi, memanjangkan tempoh ‘Lockdown’ sudah pasti akan memberi kesan kepada semua sektor khususnya ekonomi kerana ia mampu memberi impak yang amat negatif khususnya kepada golobgan marhaen dan bawahan, apalagi yang hidup mereka umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama