Ahad, 7 Jun 2020

Makcik Kiah akan terpinggir dalam pelan pemulihan ekonomi Penjana, kata pakar


Rancangan pemulihan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal meletakkan individu seperti ‘Mak Cik Kiah’ terpinggir dan ketinggalan dalam memanfaatkan pelan tersebut.

Pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid, berkata, biarpun pelan jangka pendek itu dikatakan memberi manfaat kepada beberapa kumpulan rakyat Malaysia, namun masih ada sekumpulan besar tenaga kerja yang tidak dilindungi di bawah rancangan itu.



Ia termasuklah individu bekerja sendiri yang akan turut terkesan lebih-lebih lagi apabila mereka sama sekali tiada caruman Perkeso.

“Daripada 2.7 juta individu yang bekerja sendiri, hanya 2.3 peratus menyumbang kepada Perkeso. Jika anda melakukannya (mencarum), anda selamat sekiranya kehilangan pekerjaan.

“Makcik Kiah dan geng mungkin tidak melanggan Perkeso. Jadi jika mereka kehilangan pekerjaan, selamatlah (habislah),” katanya dalam forum atas talian yang dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam.

Pada Jumaat, Muhyiddin memperkenalkan pelan bertema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ membabitkan tiga teras utama iaitu memperkasa rakyat, melonjak perniagaan dan meransang ekonomi.



Pakej tersebut bertujuan memperkukuh ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun ini.

Sementara itu, Muhammed, yang merupakan penasihat ekonomi kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menambah bahawa mereka yang menyumbang kepada Perkeso akan mendapat manfaat daripada Skim Insurans Pekerjaan (EIS) yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2017.

Namun, katanya hanya lima peratus tenaga kerja yang bekerja berdaftar dengan EIS.

Malah katanya, di bawah rancangan Penjana, tidak akan ada lagi bantuan tunai yang ditawarkan berbanding dengan pakej rangsangan yang diumumkan sebelumnya, katanya.

“Jadi untuk Makcik Kiah, dia mendapat bantuan sekali semasa pakej rangsangan terakhir, tetapi dia tidak akan mendapat apa-apa di bawah rancangan ini.

“Saya ingin melihat apa yang akan terjadi padanya. Adakah dia dilupakan buat masa ini?” katanya.

Beliau menambah bahawa, situasi ketika ini bukan berkait dengan isu tidak mendapat manfaat dari rancangan pemulihan, tetapi ianya tentang bantuan yang diterima tidak mencukupi.

Jelasnya, untuk mengatasi keadaan ekonomi semasa, perlunya reformasi ekonomi jangka pendek dan jangka panjang.

“Untuk jangka pendek, mereka yang berdaftar dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), secara automatik perlu mendapat bantuan subsidi.

“Berbanding dengan format sekarang ini, mereka perlu membuat permohonan yang menyukarkan mereka untuk memanfaatkan bantuan yang ditawarkan.

“Untuk jangka panjang, terdapat keperluan untuk pembaharuan buruh. Terutamanya mengenai masalah pekerja asing, yang masih belum dapat diselesaikan hingga kini disebabkan beberapa kumpulan yang mempunyai kepentingan sendiri,” kata Muhammed.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama