Ahad, 7 Jun 2020

Tempahan pendandan rambut penuh 10 hari


PUTRAJAYA, 7 Jun — Susulan pengumuman kerajaan yang membenarkan kedai gunting rambut dan salun beroperasi semula bermula 10 Jun, seorang pendandan rambut di sini dihujani panggilan telefon daripada pelanggan-pelanggan tetapnya yang mahu menjadi pelanggan pertama pada tarikh itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Zul, 40-an, pendandan rambut dengan 24 tahun pengalaman itu berkata beliau menerima tempahan penuh pada hari berkenaan.


“Buku janji temu penuh dari 10 hingga 20 Jun ini.

“Ada pelanggan yang baru menamatkan tempoh kuarantin wajib 14 hari selepas tiba ke Malaysia dari luar negara turut mahukan saya mendandan rambutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun katanya beliau perlu meneliti prosedur operasi standard (SOP) terlebih dulu.


“Kedai gunting dan salun dandanan rambut memerlukan SOP yang berbeza. Perkara yang boleh digariskan dalam SOP adalah waktu operasi kedai gunting dan salun serta berapa lama seorang tukang gunting dan pendandan boleh menghabiskan masa dengan seseorang pelanggan,” katanya lagi.

Ini kerana katanya kebanyakan lelaki memilih menggunting rambut di kedai gunting biasa dan tidak mengambil masa lama, berbeza dengan perkhidmatan di salun rambut dengan majoriti pelanggan adalah mereka yang mahu mewarna rambut dan lain-lain perkhidmatan yang boleh memakan masa sehingga tiga jam.

Beliau bagaimanapun bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kedai gunting dan salun rambut beroperasi semula setelah digantung sejak 18 Mac lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama