Selasa, 18 Ogos 2020

Seludup Barang Warga Filipina Di Denda RM80,000


TAWAU: Dua pendatang asing tanpa izin warga Filipina masing-masing didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah memiliki barangan kawalan bersubsidi di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh Abdul Milin Milning, 40, dan Komal Timbassal, 25,yang berada di kandang tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham ketika Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman berkenaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Julai 2020, pukul 2.10 pagi, di perairan Pulau Boheyan, dalam daerah Semporna.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa menyimpan barangan kawalan berjadual iaitu 1,250 liter minyak petrol dan empat tong gas LPG dalam sebuah perahu dengan nombor pendaftaran SA 3821/5/F.

Ketika ditahan, tertuduh gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran pemilikan barangan terkawal dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan bagi kes pemilikan tanpa kebenaran barang kawalan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain untuk tidak mengulang kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda RM80,000, gagal bayar dua tahun penjara.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses pengusiran pulang ke negara asal.

Awang Kerisnada turut mengarahkan semua barang yang dirampas, dilupuskan mengikut perundangan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jong Jee Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Sumber BT

Label:

Kecewa Dengan Anak, Ibu Tak Halal Air Susu


Lombok: “Saya tidak maafkan dia. Dia harus bayar air susu saya. Saya penat menjadi ibu, saya bosan,” kata Praya Tiningsih, 52, yang ditujukan khas kepada anaknya, Rully Wijayanto.

Tiningsih berkata demikian selepas Rully, 32, menuntut pembahagian harta pusaka membabitkan tanah seluas 4.2 ekar, rumah serta wang pencen.

Wanita yang berasal dari Semayan, Lombok Tengah itu menolak pembahagian berkenaan dan tidak juga menerima konsep perdamaian dicadangkan Rully, mengkhusus kepada empat perkara.

“Saya tolak perkara pertama. Dia tetap mahu tanah tetapi wasiat bapanya (tanah) tidak boleh dibahagikan,” katanya seperti dilapor Kompas.

Dalam permohonan itu Rully menuntut pembahagian tanah kepada setiap pewaris mengikut hukum faraid.

Kemudian, dia menuntut penjelasan berhubung wang pencen arwah dalam perkara keempat yang ditentang Tiningsih.

“Saya tolak perkara empat kerana pencen itu lebih kepada hak saya,” katanya yang sedih dengan tindakan anaknya.

Menurutnya, tuntutan Rully melanggar kehendak dan pesanan arwah suami yang meminta harta pusaka tidak dibahagikan.

“Ketika hidup dan masih menderita angin ahmar pada 2016, pesan arwah rumah diduduki sekeluarga tidak boleh dibahagikan, dijual dan perlu menjadi rumah bersama,” katanya.

Sementara itu, Rully berkata, pembahagian harta dilakukan untuk mengetahui hak mereka dan supaya tiada pihak luar mengambil kesempatan.

Dia juga menegaskan tidak merosak ataupun menjual rumah pusaka berkenaan, sebaliknya sekadar meminta pengesahan terhadap bahagian masing-masing.

“Nanti jika diputuskan (pihak berkuasa), kita tahu hak kita, adik, mama saya dan supaya tiada yang cuba menuntut harta warisan almarhum bapa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Rully yang sudah berkeluarga, mula menuntut pembahagian tanah dan wang selepas kecewa kerana ibunya tidak membenarkan dia menambah ruang tamu serta dapur. – Agensi

Label:

Kurang Perpaduan Dalam PN Beri Kelebihan Kepada Warisan, Kata Penganalisis


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, ketidakupayaan Perikatan Nasional menyelesaikan masalah dalamanya di Sabah membuka jalan untuk Warisan menang dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, PN yang bersatu padu akan memberikan saingan sengit kepada Warisan dan sekutunya, namun masih wujud keraguan terhadap kemampuan Umno dan PPBM mengetepikan perbezaan mereka.

Azmi Hassan
Katanya, persoalan juga timbul mengenai siapa bakal memimpin Sabah dengan bekas ketua menteri, Musa Aman dan ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dikatakan pesaing utama.

“Musa mempunyai pengaruh lebih besar berbanding Bung; kemampuannya untuk mendapat sokongan majoriti ketika pembangkang bercakap mengenai pengaruhnya di Sabah,” kata Azmi sambil menambah sebagai ahli politik berpengalaman, kemampuan Musa dan Bung untuk bekerjasama akan menjadi asas PN yang kuat.

Beliau berkata, PPBM dan Umno juga perlu menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan dipertandingkan. PPBM tidak berada dalam kedudukan kuat untuk membuat tuntutan kerana kewujudan mereka di Sabah di bawah tanggungan Umno.

“PN perlu menunjukkan PPBM Sabah dan Umno benar-benar bebas daripada Putrajaya,” kata Azmi sambil menambah selagi kedua-dua parti itu mempunyai autonomi di Sabah, mereka akan mencari jalan untuk memastikan semua berjalan lancar.

Awang Azman Pawi
Katanya, PRN Sabah penting buat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana cara beliau menyelesaikan pembahagian kerusi dan pemilihan calon tepat untuk memimpin Sabah akan memberi idea kepada ahli Umno mengenai kedudukan mereka dalam PN.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Umno perlu memilih wajah lebih baru berbanding memilih Musa yang sudah menerajui Sabah sejak sekian lama dan Bung yang berdepan perbicaraan rasuah.

Katanya, Warisan memiliki peluang lebih baik kerana mereka dilihat lebih bersatu.

“Untuk menang, PN perlu memastikan hubungan antara Umno dan PPBM kuat. Mereka juga perlu mengetepikan perbezaan mereka, tetapi ini tidak mudah apabila akar umbi mereka sependapat.”

Sabtu lalu, Pemuda PPBM dilaporkan diboo sayap Barisan Nasional di sebuah majlis di Tanjung Malim, Perak, hanya beberapa jam selepas Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu bersetuju menyertai Muafakat Nasional, pakatan antara Umno dan PAS.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa kemudiannya memohon maaf atas kejadian itu.

Dalam pada itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, walaupun Warisan dan sekutunya dilihat lebih teratur serta bersatu berhubung calon ketua menteri mereka, masih ada banyak masa untuk pembangkang menyelesaikan isu mereka.- FMT

Label:

PN boleh bertahan dengan hanya 111 sokongan MP? - Anwar


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat bertahan lama selepas hampir gagal meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

"Adakah kerajaan ini boleh bertahan hanya dengan 111 sokongan ahli Parlimen atau akan ada lagi episod sogokan dengan segala ugutan dan tawaran pangkat atau jawatan?" soalnya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata demikian mengulas RUU berkenaan yang diluluskan dengan 111 anggota parlimen menyokong, manakala 106 lagi menentang. Lima lagi anggota parlimen tidak hadir.

Mereka yang tidak hadir ialah Maximus Ongkili (PBS - Kota Marudu), Tengku Razaleigh Hamzah (Umno - Gua Musang), Wilfred Madius Tangau (Upko - Tuaran), Shafie Apdal (Warisan - Semporna) dan Christina Liew (PH - Tawau)


Terdapat 222 anggota parlimen dan undian menunjukkan separuh daripada mereka mengundi untuk menyokong RUU tersebut.

RUU itu dibentangkan bertujuan memohon peruntukan tambahan untuk perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7.18 bilion, berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan kementerian baru dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baru pada Mac lalu.

Sementara itu, Anwar berkata PH berpuas hati dengan alasan diberikan tiga anggota Parlimen yang tidak hadir semasa proses undian hari ini atas urusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung kelak.

Tambah Anwar, PH tidak akan berundur dalam perjuangan sebaliknya akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan semangat, kekuatan dan setiakawan baru.

"PH juga bertekad untuk terus berusaha menjadi suara rakyat di Parlimen, sambil meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat rakyat" katanya.

Label:

Isnin, 17 Ogos 2020

COVID-19: 7 kes baharu Kluster Tawar


Sebanyak tujuh kes postif baharu COVID-19 dilaporkan dalam Kluster Tawar setakat tengah hari ini, membabit empat kes di Kedah dan tiga di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini kluster berkenaan sudah merekodkan sebanyak 46 kes.

Beliau berkata, semua kes baharu ini adalah generasi ketiga manakala seramai 1,135 orang sudah disaring dalam kluster ini.

"Di Kedah, seramai 918 disaring dan seramai 39 kes dikesan positif COVID-19 manakala 655 individu negatif dan 224 individu masih menunggu keputusan.

"Seramai 208 individu disaring di Pulau Pinang dengan tujuh kes dikesan positif COVID-19 manakala 175 individu negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan.

Label:

PRN Sabah 26 September 2020


Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di tetapkan pada 26 September 2020 manakala 12 September pula ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon dan 22 September adalah tarikh mengundi awal

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 26 September
Perkara itu diumumkan Dr Azmi yang juga Timbalan Pengerusi SPR.

Bilangan pengundi berdaftar di Sabah adalah seramai 1,124,598 juta orang di Sabah. Jumlah berkenaan adalah yang dikenal pasti untuk membuang undi PRN kali ini.

Label:

Isa Samad Tak Mengaku Terima 3 Juta


KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pembelaannya di Mahkamah Tinggi hari ini menafikan dirinya menerima wang sembilan kali berjumlah RM3 juta daripada Muhammad Zahid Md Arip yang ketika itu pegawai khas politiknya berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Sarawak pada 2014.

Mohd Isa berkata, beliau tidak pernah membincangkan atau bertanya kepada Zahid mengenai status pembelian MPHS.

"Saya tidak pernah mengarahkan Zahid untuk meminta agar Haji Ikhwan (ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel) memberikan ganjaran kepada saya kerana telah membantu meluluskan pembelian MPHS.

"Saya juga tidak pernah mengirimkan apa-apa salam kepada Haji Ikhwan kerana beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saya dan saya langsung tidak mengenalinya secara peribadi," katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama prosiding bela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Katanya, setiap kali Zahid datang ke pejabatnya (Mohd Isa), Zahid hanya akan membawa dokumen dan tidak pernah membawa apa-apa beg kertas ataupun apa-apa beg besar lain.

"Sebagai ahli politik, saya adalah seorang yang berhati-hati dan tidak mungkin akan menerima wang apatah lagi dengan jumlah yang begitu banyak di Menara FELDA di mana orang ramai terutamanya staf-staf saya boleh melihatnya.

"Pergerakan saya juga sentiasa ditemani oleh pengawal dan pemandu saya, jadi sekiranya saya ada menerima wang dalam kuantiti yang begitu banyak, tidak mungkin saya dapat membawanya sendiri dan tidak mungkin juga untuk saya membenarkan pengawal untuk membawa duit sebegitu banyak," katanya.

Mohd Isa juga berkata, beliau tidak pernah membantu dan meluluskan pembelian MPHS kerana beliau tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

"Saya sendiri menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pembelian MPHS itu, jadi mengapakah secara tiba-tiba saya meminta wang pula?

"Saya tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada Haji Ikhwan dan beliau juga tidak pernah menjanjikan apa-apa imbuhan kepada saya. Saya langsung tidak terbabit atau mengetahui berkenaan apa-apa perbincangan yang berlaku di antara Haji Ikhwan dengan Zahid Md Arip," katanya.

Katanya, beliau juga tidak memahami bagaimana boleh timbul perkataan 'Salam' sedangkan beliau tidak pernah berikan apa-apa salam kepada Ikhwan.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-16, Zahid memberitahu mahkamah bahawa setiap kali Mohd Isa akan menyampaikan 'salam' kepada Ikhwan ia adalah satu petanda yang menunjukkan Mohd Isa memerlukan wang.

Ketika ditanya peguamnya, Datuk Salehuddin Saidin semasa pemeriksaan utama bila Zahid dipecat daripada jawatannya, Mohd Isa menjawab "awal 2017 kerana ketika itu beliau mula menyokong parti Harapan."

Mohd Isa dilantik sebagai pengerusi FICSB, pada 2 Julai 2013 ketika FICSB mula-mula ditubuhkan oleh Felda dan beliau juga adalah seorang daripada ahli Lembaga Pengarah FICSB, namun beliau menamatkan perkhidmatannya pada 25 Januari 2017, selepas empat tahun memegang kedua-dua jawatan itu.

Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember, 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.– BERNAMA

Label:

Nelayan lelaki warga Vietnam maut selepas terkena tembakan


KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan seorang nelayan lelaki warga Vietnam, maut selepas terkena tembakan dilepaskan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata kejadian itu berlaku pada pukul 11.40 malam tadi, kira-kira 81 batu nautika dari perairan Tok Bali, Pasir Puteh.

"Siasatan awal polis mendapati anggota APMM yang sedang menjalankan rondaan di bawah Op Kuda Laut, menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara.

"Ketika bot berkenaan ditahan, berlaku provokasi menyebabkan anggota APMM berkenaan telah melepaskan tembakan dan terkena tubuh mangsa yang berumur kira-kira 30-an itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, tembakan yang dilepaskan oleh anggota APMM berkenaan adalah ketika bertugas dan mempunyai peruntukan undang-undangnya yang tersendiri.

Beliau berkata mayat nelayan warga asing itu dibawa ke darat dan sedang menunggu untuk dibedah siasat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh hari ini, manakala baki 12 nelayan asing yang berada di dalam bot berkenaan juga sedang dibawa ke darat oleh APMM ketika ini untuk siasatan lanjut.

Katanya buat sementara waktu, pihaknya menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan.

"Pihak kami masih belum menerima maklumat lengkap berkaitan kes ini kerana APMM Kelantan masih belum membuat laporan polis," katanya.-Berita Harian

Label:

Bersatu Nafi ADUN Lompat Parti


JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor hari ini menafikan dakwaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti berkenaan mengisytiharkan keluar parti dan menyertai pembangkang.

Setiausaha BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri, berkata dakwaan berkenaan adalah khabar angin berniat jahat yang mahu memporak-perandakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor.


"Tidak ada mana-mana ADUN BERSATU Johor yang keluar parti apatah lagi menyertai pembangkang.

"Saya minta semua pihak terutama ahli BERSATU supaya jangan percaya khabar angin yang hanya mahu melemahkan kita.

"Saya sendiri selaku EXCO baharu bertemu Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, pagi tadi kerana rutinnya setiap pagi Isnin semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri akan bersarapan bersama-sama.

"Namun, Pengerusi Badan Perhubungan BERSATU Johor, Mazlan Bujang, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, tidak dapat bersama pagi tadi kerana mempunyai urusan rasmi, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembukaan rasmi sempadan Malaysia-Singapura, di sini, hari ini.

Sejak malam tadi tular di media sosial, tiga ADUN BERSATU Johor akan mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyertai pakatan pembangkang.

Ia sekali gus mampu menjerumuskan semula Johor dalam keadaan tidak menentu selepas kejatuhan kerajaan PH dalam krisis politik negeri, Februari lalu

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), Bebas (satu) sementara AMANAH (9) dan PKR pula (empat).

Pakatan Nasional (PN) Johor memiliki 29 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) Johor mempunyai 27 kerusi.

Sabtu lalu, semua 11 ADUN BERSATU Johor menghadiri pertemuan tertutup bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama ADUN Muafakat Nasional (MN), selain MCA dan MIC Johor.

Pertemuan tertutup itu dikatakan membincangkan kerjasama politik dan masa depan hala tuju kerjasama di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan MN.

Ia susulan pengumuman Muhyiddin yang juga pemangku Pengerusi BERSATU, pagi Sabtu yang dilaporkan berkata, penyertaan BERSATU dalam MN akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Mohd Solihan berkata, ahli BERSATU juga diminta tidak menyebarkan khabar angin palsu jika mereka menerima kiriman mesej WhatsApp berhubung perkara itu.

"Jika berita palsu seperti ini kita sendiri tularkan, sudah tentulah ia menjadi suatu kekecohan sehingga akhirnya ada yang terpedaya dan percaya pula, " katanya.

Label:

Warga China ditahan cuba rasuah anggota PGA


PADANG BESAR: Seorang lelaki warga China ditahan selepas cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahannya ketika cuba memasuki negara ini secara haram di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar, Rabu lalu.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, lelaki berusia lingkungan 40-an itu cuba menyogok wang RM12,869 dan dua jam tangan mewah bernilai RM3,500 kepada anggotanya.

Katanya, tindakan itu dilakukan agar anggota PGA membebaskannya yang ketika itu ditahan kerana didapati memasuki negara ini tanpa melalui kawalan Pos Imigresen yang sah.

"Lelaki terbabit bertindak menyogok anggota PGA berulang kali meskipun dia sudah diberi amaran agar berhenti daripada melakukannya.

"Namun, dia tidak mengendahkannya dan berterusan menyogok malah bersedia untuk menambahkan jumlah sogokan, susulan itu pihak kami menahannya untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Ghani berkata, hasil pemeriksaan menemui dua pasport China bukan milik suspek dan 50 keping wang tunai Amerika Syarikat (AS) bernilai RM12,869 serta dua jam tangan.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM16,367 dan kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut mengikut Sekysn 17 (B) Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani ,berkata dalam penugasan Op Benteng bermula kelmarin, pihaknya berjaya merampas 1.6 tan daun ketum bernilai RM49,200.

Katanya, turut dirampas tiga motosikal dan tiga kereta dianggarkan bernilai lebih RM82,500 selain dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Racun 1952.-Berita Harian

Label:

Jambatan ‘Putus’ Di Kampung Ranggu Selesai Kurang 48 Jam




TAWAU: Lebih 2,000 penduduk Kampung Ranggu menarik nafas lega apabila jambatan di Jalan Mariano yang terputus semalam, berjaya dipulihkan dalam tempoh kurang 48 jam.

Semalam, jambatan itu dilaporkan rosak teruk selepas sebuah lori yang membawa muatan pasir dianggarkan lebih 20 tan melaluinya.

Keadaan itu menyebabkan lori berkenaan hampir terjunam ke sungai dan jambatan diperbuat daripada kayu itu rosak sekali gus menyukarkan ribuan penduduk di beberapa buah taman perumahan di situ untuk keluar atau masuk melakukan urusan harian.

Bagaimanapun, masalah penduduk tersebut mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Jaujan Sambakong apabila terbaca mengenainya di laman sosial Facebook, semalam.

“Sebaik melihat berita yang tular tersebut, saya segera menghubungi Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk turun padang hari ini bagi menyelesaikan masalah penduduk.

“Kebetulan semalam berada di Semporna dan saya mengambil keputusan hadir ke sini memantau kerja baik pulih bagi memastikan kebajikan penduduk terjamin,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Menurut Jaujan, dia terpanggil untuk menyelesaikan segera masalah itu memandangkan Jalan Mariano adalah satu-satunya jalan alternatif bagi penduduk Kampung Ranggu selepas jambatan jalan utama di situ sedang dalam proses naik taraf.

“Tidak kiralah ini kawasan siapa (Dewan Undangan Negeri Balung), kebajikan rakyat adalah paling utama kerana mereka memerlukan jalan ini untuk melakukan urusan harian seperti ke sekolah atau bekerja bermula Isnin nanti.


“Saya berharap penduduk dapat bersabar atas segala kesulitan yang berlaku khususnya membabitkan kelewatan pembinaan jambatan di jalan utama,” katanya.

Tambah Jaujan, kerja pembaikan jambatan di Jalan Mariano dilakukan syarikat konsensi yang dilantik MPT sebelum kos baik pulih itu ditanggung oleh syarikat lori berkaitan.

“Saya turut mengarahkan MPT memasang palang dan papan tanda di jambatan itu yang tertera had berat kenderaan yang dibenarkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.


Sementara itu, seorang penduduk yang ditemui Cahrun Abd Sani, 44, (Gambar) gembira melihat tindakan pantas Kerajaan Negeri dan MPT dalam menyelesaikan masalah penduduk.

“Memang terkejut melihat kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah penduduk di sini.

“Saya berharap agar kerja baik pulih itu dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi membolehkan penduduk menggunakannya,” katanya.- BorneoToday

Label:

Arab Saudi lantik 10 wanita untuk melaksanakan peranan penting


Putera Makhkota Arab Saudi, Mohammed Salman. - Foto AFP
RIYADH: Arab Saudi melantik 10 wanita untuk melaksanakan peranan penting di dua tempat paling suci sebagai usaha negara pengeluar minyak yang konservatif itu meningkatkan pekerjaan dalam kalangan golongan berkenaan.

Pelantikan wanita untuk jawatan kanan di institusi agama jarang-jarang berlaku dalam kerajaan Islam, yang mana ia adalah antara usaha liberalisasi meluas yang dipelopori Putera Mahkota Mohammed Salman.

Wanita berkenaan dilantik di dua masjid suci di Makkah dan Madinah membabitkan pelbagai jawatan termasuk pentadbiran dan teknikal, demikian menurut kenyataan oleh presiden am bagi hal ehwal dua masjid berkenaan.

Usaha pengambilan pekerja itu bertujuan "memperkasa wanita Arab Saudi dengan kelayakan dan kemampuan yang tinggi", kata kenyataan itu.

Dua masjid suci itu sebelum ini mengambil 41 wanita bagi jawatan dalam kepemimpinannya pada 2018, menurut media Arab Saudi.

Putera Mohammed berusaha untuk meningkatkan pekerjaan bagi wanita sebagai sebahagian daripada "Wawasan 2030", yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi kerajaan dan menamatkan pergantungan negara itu terhadap minyak.

Berdasarkan angka rasmi, jumlah wanita bekerja di Arab Saudi mencapai 1.03 juta pada suku ketiga 2019 iaitu 35 peratus daripada jumlah tenaga kerja, berbanding 816,000 pada 2015.

Dalam pembaharuan lain, wanita di negara itu kini dibenarkan memandu kenderaan, panggung wayang dibuka kembali dan wanita serta lelaki dibenarkan bergaul di majlis, termasuk konsert dan tempat awam.

Bagaimanapun, pembaharuan itu turut disertai dengan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat.

Arab Saudi menahan dan membawa ke mahkamah belasan aktivis wanita yang sudah lama berkempen bagi mendapatkan hak memandu, sekali gus mencetuskan kecaman meluas.

Sebilangan aktivis mendakwa mereka diseksa dan dianiaya secara seksual oleh penyiasat. - AFP

Label:

Kemarau, isu dan isu 'scammer' di Dewan Rakyat hari ini


Persiapan negara menghadapi musim kemarau dan impaknya terhadap empangan di seluruh negara antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.


Selain itu, isu mengenai kes sindiket penipuan kewangan (scammer) yang berlaku ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga dijangka menjadi tumpuan pada persidangan, hari ini.

Soalan berkenaan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Dalam Negeri yang antara lain turut meminta kementerian terbabit menyatakan kaedah serta langkah berkesan bagi mengekang sindiket penipuan itu.

Soalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi permohonan pemastautin tetap Malaysia turut diajukan kepada menteri berkenaan oleh Natrah Ismail (PH-Sekijang).

Dewan Rakyat juga dijadualkan menyambung perbahasan bagi usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – BERNAMA

Label:

COVID-19: New Zealand tangguh pilihan raya umum


WELLINGTON: Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Isnin menunda pilihan raya umum (PRU) selama empat minggu sehingga 17 Oktober berikutan penularan pandemik COVID-19 ketika kempen berjalan.

New Zealand yang sebelum ini menetapkan PRU pada 19 September kini sedang bertarung menangani virus yang memaksa bandar terbesar di negara itu, Auckland melaksanakan perintah berkurang, sekali gus mengakhiri 102 hari tanpa penularan tempatan.

Pemimpin berdepan tekanan untuk menunda tarikh selepas semua parti menghentikan kempen susulan penularan semula pandemik.

"Keputusan ini memberi waktu kepada semua pihak selama sembilan minggu untuk berkempen dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai cukup waktu untuk memastikan PRU dapat berlangsung," kata Ardern.

Ardern mengakui terdapat kegelisahan yang meluas dalam komuniti mengenai penularan semula virus berkenaan yang mula dikesan membabitkan empat sekeluarga di Auckland, Selasa lalu.

Menjelang Ahad, kluster Auckland meningkat kepada 49 kes dan Ardern mengatakan beliau menggunakan hari minggu untuk berunding dengan pemimpin parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai tarikh PRU.

Beliau berkata, perubahan itu bermaksud semua pihak akan berkempen dalam keadaan yang sama, selain memberi jaminan tidak akan mengubah tarikh yang dijadualkan semula pada 17 Oktober tanpa mengira keadaan.

Populariti Ardern melonjak tinggi dalam pemilihan, dengan catatan peribadi sekitar 60 peratus kerana kepemimpinannya sepanjang pandemik, serangan masjid Christchurch tahun lalu dan letusan gunung berapi Pulau Putih.

Parti Buruhnya berada di landasan yang betul untuk merebut jawatan tanpa rakan gabungan parti kecil - Greens dan New Zealand First (NZF) - yang diperlukannya pada penggal pertama.

Label:

Ahad, 16 Ogos 2020

Rasuah: Isa Samad Bela Diri Esok


KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad akan membela diri di Mahkamah Tinggi di sini, esok terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta, berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), enam tahun lalu.

Peguamnya Datuk Salehuddin Saidin semasa dihubungi berkata, Mohd Isa akan menjadi saksi pembelaan pertama memberi keterangan esok.

Kes berkenaan ditetapkan bermula pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Sebelum ini, hakim menetapkan tiga hari untuk mendengar kes pembelaan berkenaan bermula 17 Ogos.

Mohd Isa, 71, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan beliau akan disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pada 16 Jun, Mohd Nazlan memerintahkan Mohd Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim memutuskan bahawa sembilan pengeluaran tunai oleh seorang saksi pendakwaan, pemegang saham dan pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab, mencukupi sebagai keterangan boleh dipercayai bagi membuktikan inti pati pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah yang dihadapi Mohd Isa.

JV Evolution Sdn Bhd ialah ejen yang dilantik oleh Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan bekas pengarahnya ialah Ikhwan Zaidel, 60, untuk menguruskan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh GAPSB, pemilik hotel berkenaan ketika itu.

"Ikhwan kemudian sudah menyerahkan wang tunai itu kepada pegawai khas Mohd Isa, iaitu Muhammad Zahid Md Arip, yang akhirnya memberikan wang itu kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam semua sembilan pertuduhan," kata hakim itu dalam penghakimannya.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mohd Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya membabitkan pembelian hotel sama selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Januari lalu selepas perbicaraan berlangsung 15 hari dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah, iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember, 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Label:

COVID-19: India Melebihi 2.5 Juta Kes


HONG KONG: Jumlah kes COVID-19 di India hari ini, melepasi 2.5 juta, manakala Filipina merekodkan 4,351 kes jangkitan harian baru.

Data terkini Kementerian Kesihatan India itu menyaksikan jumlah keseluruhan kes jangkitan virus terbabit melebihi 2.59 juta, termasuk mengakibatkan 50,099 kematian.

Sebanyak 65,200 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan 996 kematian manakala 668,220 kes COVID-19 disahkan masih aktif di seluruh India.

Sementara itu, jumlah kes COVID-19 di Filipina meningkat kepada 157,918 kes selepas Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 4,351 kes harian baharu, hari ini.

Angka korban turut meningkat kepada 2,600 orang selepas 159 lagi kematian direkodkan, berpunca daripada virus terbabit.

Kementerian Kesihatan Indonesia pula melaporkan jangkitan COVID-19 meningkat 2,345 kes dalam sehari, menjadikan jumlah kumulatif 137,468 kes selain 50 kes kematian harian, menjadikan jumlah keseluruhan 6,071 kematian.

Sebanyak 1,703 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan 91,321 mangsa disahkan sembuh.

Kementerian Kesihatan New Zealand, dalam satu kenyataan hari ini, merekodkan tujuh kes COVID-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Katanya, enam kes mempunyai kaitan dengan penularan kluster sebelum ini, dan satu kes lagi masih dalam siasatan.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di New Zealand sebanyak 1,258 kes, berdasarkan jumlah yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara global, setakat ini virus terbabit sudah menjangkiti 21,617,972 orang termasuk mengakibatkan 769,006 kematian selain 14,334,222 mangsa disahkan sembuh di 213 negara di seluruh dunia, sejak virus itu dikesan Disember lalu di China. - AGENSI

Label:

Esok Penentuan PRN Sabah


KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tumpuan esok. Tumpuan masyarakat dijangka terarah ke negeri itu berikutan dua peristiwa penting akan berlangsung, kedua-duanya berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Pada sebelah pagi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pada sebelah petang pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh PRN.

Di Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim akan membuat keputusan berhubung permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan DUN.

Shim menetapkan 17 Ogos untuk membuat keputusan itu selepas isu dibawa ke mahkamah pada 7 Ogos lalu oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN yang lain.



Pada 29 Julai, semua 33 ADUN berkenaan termasuk Musa mendakwa mereka membentuk majoriti di DUN dan mahu Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Senallang, mendahului langkah Musa dengan menasihati Juhar agar membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli iaitu 60 dipilih dan lima dilantik.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, Musa dan ADUN yang menyokongnya meminta perintah mahkamah untuk membatalkan nasihat Mohd Shafie kepada Juhar agar membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN dan membatalkan warta pembubaran kerajaan negeri.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, Mohd Shafie sebagai yang kedua, SPR yang ketiga, dan kerajaan Sabah sebagai yang keempat.

Tindakan mahkamah diambil selepas Musa dan 32 ADUN lagi gagal mengadakan pertemuan dengan Juhar.

Konvoi kenderaan yang membawa rombongan ADUN terbabit ke Istana Negeri mendapati laluan ke istana ditutup oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli, berkata pada 6 Ogos bahawa istana tidak pernah menerima permintaan rasmi atau tidak rasmi daripada Musa untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar.

Beliau juga berkata istana tidak pernah mengarahkan pihak polis menghalang rombongan Musa, sebaliknya sekatan jalan raya dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini susulan pembubaran DUN.

Istana juga menyangkal dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengatakan Juhar menyalahgunakan kuasa dan telah menerima imbuhan untuk membubarkan DUN.

Berikutan pembubaran DUN itu, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan PRN.

Mesyuarat khas SPR esok dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang di The Magellan Sutera Resort di sini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, akan mempengerusikan mesyuarat dan mengadakan sidang media pada 4 petang.

Beliau dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan serta persiapan lain, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

SPR berpengalaman dalam menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini di Pahang pada 4 Julai lepas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir 31 Ogos ini.

Suruhanjaya itu juga dalam proses melaksanakan PRK Slim di Perak yang hari pengundiannya pada 29 Ogos.

PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya terdahulu selepas Dewan Rakyat meluluskan syor SPR agar kerusi DUN Sabah ditambah. – BERNAMA

Label: