Rabu, 29 Julai 2020

Kes SRC: Najib bersalah!




MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.


Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.


Label:

Selasa, 28 Julai 2020

Usaha Beli ADUN Warisan Memang Muka Tak Malu


TAWAU: Selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan Sabah (Warisan) dan DAP Sabah, kini ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah mendakwa didatangi ejen menawarkan ‘langit dan bumi’, sekiranya bersetuju meninggalkan parti sedia ada.

Beliau yang ditemui media semalam berkata, pelbagai tawaran ‘hebat’ dilakukan termasuk jawatan dalam kerajaan negeri dengan harapan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) dan Warisan dapat digulingkan.

“Tidak cukup dengan tawaran dan ejen tersebut, mereka turut menyebarkan berita palsu termasuk mendakwa ramai ahli berhormat Warisan sudah menandatangani surat persetujuan untuk keluar parti.

“Malah mereka juga sanggup memutar belit kenyataan termasuk mereka cerita seperti menggunakan nama saya dalam senarai kabinet bayangan kerajaan baharu Sabah sebelum ditularkan di media sosial,” katanya.

Turut tersebar berita palsu kononnya beliau ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen tempatan berkaitan pengumuman keluar parti.

Menurut Manis Muka, kehadiran ejen berkenaan menyebabkan dia kini jarang berada di rumah bagi mengelak diganggu pihak berkaitan dipercayai mempunyai kaitan dengan parti yang bercita-cita merampas pentadbiran negeri.

“Sehubungan itu, saya membuat laporan polis berkaitan penyebaran berita palsu dan kehadiran ejen berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Selain saya, ramai lagi ADUN dan Ahli Parlimen dari Warisan turut diganggu ejen berkenaan, namun, kami enggan berpaling tadah membelakangi mandat rakyat pada pilihan raya umum lepas,” katanya.- BorneoToday

Label:

Buka Gelang Tangan Kuarantin Dikompaun RM2,000


TAWAU-Padah menanggalkan gelang tangan kuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini, seorang lelaki dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.

Pegawai Pejabat Kesihatan dan Persekitaran Kawasan Tawau Rahman Sampe berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes berkenaan, semalam.

“Hasil siasatan yang dijalankan, kami mendapati lelaki itu melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Terdapat dua kesalahan yang dilakukan menyebabkan suspek perlu membayar RM2,000,” katanya.

Jika suspek gagal menjelaskan denda dalam tempoh 14 hari, lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah bagi proses pendakwaan.

Khamis lalu lelaki berkenaan yang baru pulang dari Jepun, bertindak menanggalkan gelang tangan kuarantin di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke Tawau menaiki kapal terbang.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau, suspek berusia 30-an itu, turut memalsukan deklarasi kesihatan termasuk sejarah perjalanan ke luar negara bagi mengelak menjalani kuarantin di rumah.

Suspek kemudian menghubungi Pejabat Kesihatan Tawau, minggu lalu, dan memaklumkan kehilangan gelang tangan tersebut, dipercayai bimbang berikutan tular beberapa keping gambar di laman sosial berkaitan tindakan individu yang memakai gelang tangan Covid-19 di tempat awam termasuk premis makanan di Perak dan Kuala Lumpur.

Turut tular, gambar seutas gelang tangan yang dibuang di lantai KLIA bertarikh 20 Julai 2020, dipercayai milik individu datang dari luar negara.- BorneoToday


Label:

Isnin, 27 Julai 2020

Hukuman penjara pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dinaikkan


KUALA LUMPUR: Hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.


Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 itu dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang turut memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini.

Menurut rang undang-undang itu, bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan pula, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.


Rang undang-undang berkenaan juga menyebut, pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang menyebabkan kematian akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dari tarikh sabitan dan tidak kurang tujuh tahun bagi pemandu yang menyebabkan kecederaan.

Pindaan itu juga turut melibatkan had alkohol yang ditetapkan iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100 ml darah atau 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing.

Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi takrif 'kenderaan mikromobiliti' iaitu mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik.

Rang undang-undang yang antaranya bertujuan meminda Seksyen 41, 42, 43, 44 dan 45 akta itu tidak melibatkan perbelanjaan wang tambahan pihak kerajaan. - Bernama

Label:

Rabu, 8 Julai 2020

400 Sertai UPKO Di Ranau Termasuk Dari UMNO



RANAU: Parti Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau terus diperkukuhkan dengan kemasukan 400 ahli baharu termasuk dari parti UMNO dan bekas ahli Parti Harapan Rakyat Sabah.

Penyerahan borang diterima oleh Presiden UPKO Malaysia, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dalam satu acara di sini, kelmarin sambil disaksikan Ketua Bahagian UPKO Ranau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.31 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.


Saidi
                                                               


Hadir sama Pengerusi Majlis Penasihat UPKO, Tan Sri Wences Angang, Timbalan Presiden UPKO, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin, Naib Presiden UPKO merangkap Menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedict serta Ahli-ahli Majlis Tertinggi UPKO.

Seorang mantan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ranau, Kapilin Haji Surup, 55, berkata, beliau menyertai UPKO kerana terus konsisten dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.

Kapilin

“Saya juga tertarik dengan keterbukaan UPKO terhadap perjuangan yang lebih inklusif melalui penjenamaan baharu yang dilaksanakan baru-baru ini.



“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk keluar dari UMNO pada hari ini dan bersama-sama berjuang dalam parti UPKO untuk masa depan Sabah yang lebih progresif dan sejahtera,” katanya.

Mantan Ketua Penyelaras Parti Harapan Rakyat Sabah kawasan Paginatan, Saidi Jaimin, 70, turut berkongsi pendapat yang sama ketika diminta mengulas mengenai keputusan yang diambil.\

“Selepas Parti Harapan Rakyat Sabah dibubarkan oleh Presidennya Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, saya masih belum mengambil keputusan untuk menyertai mana-mana parti.




“Sehinggalah hari ini (kelmarin), saya terpanggil untuk hadir sendiri untuk mengisi dan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden UPKO. Bukan atas dorongan sesiapa tetapi ini adalah atas kerelaan hati saya kerana saya melihat parti ini adalah satu-satunya parti yang konsisten dan sentiasa berjuang untuk hak-hak bumiputera dan rakyat Sabah,” katanya.

Seorang lagi ahli baharu UPKO yang ditemui, Faizul Jamita, 45, berkata, politik di peringkat nasional pada ketika ini seolah-olah para pemimpin lebih mementingkan perebutan kuasa sendiri berbanding kepentingan rakyat.

“Untuk itu, saya menyertai UPKO kerana ia menunjukkan kepimpinan parti yang baik, dan berjuang untuk rakyat Sabah secara keseluruhan.

“Jadi saya menyertai UPKO secara ikhlas tanpa paksaan, tanpa sebarang habuan dan ini adalah di atas kerelaan hati saya sendiri,” katanya.- Berita Sabah

Label:

Rabu, 1 Julai 2020

Lebih 1,400 Individu Tak Hadir Ujian COVID-19 Kali Kedua

PUTRAJAYA, 1 Julai: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesan lebih 1,400 individu yang ingkar untuk menjalani saringan kedua COVID-19 setelah tamat tempoh kuarantin kendiri di rumah.

Kesemua mereka merupakan individu yang baru pulang dari luar negara dan perlu menjalani saringan kedua selepas 13 hari menjalani kuarantin.

“Kita telah kenalpasti individu tersebut. Kita ada alamat dan sebagainya,” kata Noor Hisham.

“Kita telah laksanakan swab hari pertama. Hari ke-13 mereka patut menjalankan swab dan hari ke-14 datang ke klinik tetapi mereka tidak hadir ke klinik.

“Kami akan laksanakan pengesanan kenapa mereka tak hadir dan sebagainya.

“Kami ada data mereka dan kita tahu di mana mereka berada,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan berkata pihak polis akan mengesan individu terlibat. Mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, katanya

Label:

COVID-19: Tiada Jangkitan Dalam Negara

SEJARAH tercipta hari ini apabila tiada jangkitan baharu Covid-19 dalam negara membabitkan penularan tempatan, hanya satu kes direkodkan berkaitan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu yang dilaporkan membabitkan warga tempatan yang pulang dari Turki.


Beliau berkata, susulan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak berkenaan dalam negara sebanyak 8,640 kes.

"Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 membabitkan 144 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, ada 21 kes yang pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan discaj wad sebanyak 8,375 kes, 96.93 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga kini, hanya empat pesakit positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak itu kekal 121 kes," katanya.

Label:

Jurutera tular memandu mabuk, cederakan pesara polis didakwa

DIDAKWA: Jurutera S.Surintheran yang tular dalam media sosial berhubung kejadian merempuh sebuah kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat Ampang, semalam atas pertuduhan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang pesara polis cedera. — Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang jurutera yang tular dalam media sosial berhubung kejadian merempuh sebuah kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam atas pertuduhan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang pesara polis cedera.

S.Surintheran, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Tertuduh didakwa sebagai pemandu kereta telah memandu kenderaan itu di bawah pengaruh alkohol sebanyak 243 miligram (mg) /100 mililiter iaitu melebihi 163mg/100ml daripada had yang dibenarkan dalam 100 mililiter darah melebihi had yang ditetapkan iaitu 80mg dan telah gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan terhadap dua kenderaan dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelanggan di Gerai Medan Selera Taman Melawati iaitu Mohd Rose Hassan, 63 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di persimpangan Jalan Bandar Melawati di Lorong Perak, Taman Melawati di sini pada 8.30 malam, 26 Jun lepas mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 dan tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.


Peguam A.Venkateswari memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya mempunyai dua anak yang masih kecil dan dia juga menjaga ibu bapanya yang sudah tua. Saya mohon jaminan dibenarkan kerana ini adalah kesalahan pertama anak guam saya,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes. — Bernama

Label:

Sejam berpaut di bot, pelampung pukat ikan

“Selama sejam berpaut pada bot, menangis dan meminta pertolongan sebelum diselamatkan oleh bot nelayan,” kata Muhammad Faris Ramli, 22, salah seorang mangsa terselamat dalam tragedi bot terbalik dibadai ribut di perairan Bachok, malam kelmarin.


Menceritakan kejadian itu, Muhammad Faris berkata, beliau bersama 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak baharu tiba di lokasi kejadian untuk melakukan aktiviti menyandat sotong dan memancing.

“Kami baharu sampai di tempat kejadian pada waktu Maghrib dan hanya sekejap mencandat sotong dan memancing sebelum ribut datang dengan tiba-tiba dan terbalikkan bot kami.

“Pada waktu itu tekong bot mengarahkan kami masuk ke bahagian dalam bot untuk menyelamatkan diri, dia (tekong) kata tali sauh bot putus, kejadian berlaku amat pantas sehingga saya tidak melihat apa-apa lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Tok La di sini, semalam.

Terdahulu, Bernama melaporkan kejadian itu telah meragut empat nyawa, empat masih hilang dan 12 disahkan selamat.


Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, beliau yang pertama kali memancing ke laut berjaya menyelamatkan diri apabila berpaut di pelampung pukat ikan.

“Saya tenggelam sebelum berjaya mencapai pelampung pukat ikan dan sempat menyelamatkan dua lagi rakan yang lain iaitu Harif Mat Yasin, 50, dan Ahmad Roslan Musa, 31, manakala rakan lain tidak kelihatan ketika itu.

“Saya mampu berdoa dan berfikir akan turut terkoban sekiranya tiada bot nelayan yang datang menyelamatkan kami,” katanya.

Beliau, yang bekerja sebagai pembantu kedai berkata, selepas terselamat lebih mendebarkan hatinya apabila dia tercari-cari bapa saudaranya iaitu Hasan Daud, 60, yang tidak kelihatan dan antara yang dilaporkan masih hilang.

“Nasib baik sepupu saya Amir Syazwan Adnan, 21, turut terselamat dan ini pertama kali dan terakhir saya ke laut, peristiwa ini akan menjadi pengalaman pahit yang akan dikenang sampai bila-bila,” katanya. — Bernama

Label:

Jawatan perdana menteri, perkara kedua penting - Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari berkata isu menangani cabaran dihadapi negara ketika ini lebih penting daripada siapa perdana menteri yang seterusnya.

"Bagi saya isu jawatan perdana menteri perkara kedua penting. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan.

"Sekarang negara berdepan banyak cabaran. Pandemik COVID-19 belum selesai, kedua, ekonomi kita...Jadi kita memerlukan kepimpinan yang sangat fokus untuk mengurus semua masalah ini," ujarnya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Jalan Sungai Maong-Segedup di sini hari ini.

Abang Johari berkata demikian apabila ditanya sama ada nama beliau turut disebut sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) Plus berkuasa semula manakala presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri II.


Abang Johari berkata Muhyiddin harus diberi kepercayaan memimpin negara dan telah berusaha melakukan yang terbaik ketika negara berdepan cabaran sukar ketika ini.

"Tak perlulah kita nak sibuk-sibuk (siapa yang harus menjadi perdana menteri). Beliau (Muhyiddin) sudah ada di sana (dilantik), biarlah beliau lakukan tugasnya," ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Abang Johari berkata kerajaan negeri akan memfokus kepada usaha membangunkan Sarawak dengan mengetepikan kepentingan politik termasuk isu jawatan perdana menteri.

"Kita kurangkan berpolitk, sebaliknya mahu memfokus kepada pembangunan Sarawak," katanya.

Label: