Isnin, 17 Ogos 2020

Bersatu Nafi ADUN Lompat Parti


JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor hari ini menafikan dakwaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti berkenaan mengisytiharkan keluar parti dan menyertai pembangkang.

Setiausaha BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri, berkata dakwaan berkenaan adalah khabar angin berniat jahat yang mahu memporak-perandakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor.


"Tidak ada mana-mana ADUN BERSATU Johor yang keluar parti apatah lagi menyertai pembangkang.

"Saya minta semua pihak terutama ahli BERSATU supaya jangan percaya khabar angin yang hanya mahu melemahkan kita.

"Saya sendiri selaku EXCO baharu bertemu Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, pagi tadi kerana rutinnya setiap pagi Isnin semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri akan bersarapan bersama-sama.

"Namun, Pengerusi Badan Perhubungan BERSATU Johor, Mazlan Bujang, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, tidak dapat bersama pagi tadi kerana mempunyai urusan rasmi, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembukaan rasmi sempadan Malaysia-Singapura, di sini, hari ini.

Sejak malam tadi tular di media sosial, tiga ADUN BERSATU Johor akan mengisytiharkan keluar parti sekali gus menyertai pakatan pembangkang.

Ia sekali gus mampu menjerumuskan semula Johor dalam keadaan tidak menentu selepas kejatuhan kerajaan PH dalam krisis politik negeri, Februari lalu

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), Bebas (satu) sementara AMANAH (9) dan PKR pula (empat).

Pakatan Nasional (PN) Johor memiliki 29 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) Johor mempunyai 27 kerusi.

Sabtu lalu, semua 11 ADUN BERSATU Johor menghadiri pertemuan tertutup bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama ADUN Muafakat Nasional (MN), selain MCA dan MIC Johor.

Pertemuan tertutup itu dikatakan membincangkan kerjasama politik dan masa depan hala tuju kerjasama di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan MN.

Ia susulan pengumuman Muhyiddin yang juga pemangku Pengerusi BERSATU, pagi Sabtu yang dilaporkan berkata, penyertaan BERSATU dalam MN akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Mohd Solihan berkata, ahli BERSATU juga diminta tidak menyebarkan khabar angin palsu jika mereka menerima kiriman mesej WhatsApp berhubung perkara itu.

"Jika berita palsu seperti ini kita sendiri tularkan, sudah tentulah ia menjadi suatu kekecohan sehingga akhirnya ada yang terpedaya dan percaya pula, " katanya.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama