Isnin, 17 Ogos 2020

COVID-19: New Zealand tangguh pilihan raya umum


WELLINGTON: Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Isnin menunda pilihan raya umum (PRU) selama empat minggu sehingga 17 Oktober berikutan penularan pandemik COVID-19 ketika kempen berjalan.

New Zealand yang sebelum ini menetapkan PRU pada 19 September kini sedang bertarung menangani virus yang memaksa bandar terbesar di negara itu, Auckland melaksanakan perintah berkurang, sekali gus mengakhiri 102 hari tanpa penularan tempatan.

Pemimpin berdepan tekanan untuk menunda tarikh selepas semua parti menghentikan kempen susulan penularan semula pandemik.

"Keputusan ini memberi waktu kepada semua pihak selama sembilan minggu untuk berkempen dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai cukup waktu untuk memastikan PRU dapat berlangsung," kata Ardern.

Ardern mengakui terdapat kegelisahan yang meluas dalam komuniti mengenai penularan semula virus berkenaan yang mula dikesan membabitkan empat sekeluarga di Auckland, Selasa lalu.

Menjelang Ahad, kluster Auckland meningkat kepada 49 kes dan Ardern mengatakan beliau menggunakan hari minggu untuk berunding dengan pemimpin parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai tarikh PRU.

Beliau berkata, perubahan itu bermaksud semua pihak akan berkempen dalam keadaan yang sama, selain memberi jaminan tidak akan mengubah tarikh yang dijadualkan semula pada 17 Oktober tanpa mengira keadaan.

Populariti Ardern melonjak tinggi dalam pemilihan, dengan catatan peribadi sekitar 60 peratus kerana kepemimpinannya sepanjang pandemik, serangan masjid Christchurch tahun lalu dan letusan gunung berapi Pulau Putih.

Parti Buruhnya berada di landasan yang betul untuk merebut jawatan tanpa rakan gabungan parti kecil - Greens dan New Zealand First (NZF) - yang diperlukannya pada penggal pertama.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama