Isnin, 8 Jun 2020

Tidak sanggup tanggung malu jadi scammer, empat beranak cuba bunuh diri


KOTA KINABALU: Disebabkan tidak tahan menanggung malu selepas menjadi penipu (scammer), empat beranak mengambil keputusan cuba membunuh diri di rumah mereka di Kuala Manggatal di sini awal pagi pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua mereka bertindak melepaskan gas LPG sebelum mengunci diri di bahagian dapur kira-kira jam 3 pagi.

“Perbuatan mereka bagaimanapun berjaya dikesan apabila jiran mereka terhidu bau gas yang agak kuat dari rumah mereka sebelum bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bertindak dengan kejadian, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan pasukan bomba yang turut sampai ke rumah terbabit segera memecahkan pintu untuk masuk ke dalam rumah sebelum menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa termasuk pasangan suami isteri masing-masing berumur 60 dan 63 tahun bersama dua anak mereka berumur 26 dan 29 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik berkenaan.


“Kesemua mangsa yang tidak sedarkan diri akibat terhidu gas LPG segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan lanjut.

“Keempat-empat mereka bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan kejadian itu Habibi berkata hasil siasatan awal mendapati anak mangsa berumur 29 tahun terbabit dalam beberapa kegiatan penipuan ‘scammer’.

“Suspek juga terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan pernah dipantau oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes ini mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Jainal Ismail berkata sebaik menerima panggilan kecemasan 11 anggota dari BBP Kota Kinabalu digegaskan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.

“Pasukan bomba bertindak masuk ke rumah mangsa menggunakan peralatan khas dan berjaya memujuk serta menenangkan mangsa.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 6.06 pagi kemudian,” katanya.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama