Kanak-Kanak Ditemui Ditepi Jalan
Peniaga, Upik Ilias, 49, berkata dia menemui kanak-kanak dipercayai berusia tiga tahun itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Kantan, Kajang pada 2.40 petang.
"Ketika kejadian, saya dan suami Iskandar Munir, 53, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar barang di Nilai 3, Negeri Sembilan sebelum terserempak dengan kanak-kanak itu.
"Dia dilihat berseorangan seperti mahu melintas jalan lalu meminta suami membuat pusingan U di laluan berkenaan untuk melihat keadaan kanak-kanak terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kanak-kanak itu berpakaian kemas dengan rambut diikat serta memakai gincu.
"Dia juga kelihatan takut. Apabila ditanya, dia menjawab, namun percakapannya tidak begitu jelas dan tidak dapat difahami.
"Saya dan suami kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Kajang untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
"Setakat ini, kanak-kanak itu belum dituntut dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenalinya diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Label: Kes&Jenayah
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama