Khamis, 4 Jun 2020

Tanpa DAP pun, parti Melayu masih tidak boleh bersama


Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Saqif Ansorullah mempersoalkan hala tuju Perikatan Nasional (PN) khususnya di Parlimen Bagan Serai.

Pengerusi Biro Dakwah itu berkata, tahap hubungan politik antara parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) di Bagan Serai berubah-ubah biarpun tanpa DAP.

Menurut bekas calon Pakatan Harapan (PH) Dun Selinsing itu, hubungan Pas dan Umno sebelum PN menguasai kerajaan sangat akrab tetapi berbeza selepas mereka merampas kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Sebelum terbentuk kerajaan PN di Persekutuan dan negeri Perak, Pas dan Umno amat rapat dengan siri penjelajahan siri ceramah di Bagan Serai.

“Antara tokoh yang bersama atas pentas (ceramah) ialah YB Selinsing (Umno) YB Alor Pongsu (Umno) dan YB Gunung Semanggol (Pas),” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Walau bagaimanapun, Ahmad Saqif berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dari Pas, Razman Zakaria dilihat lebih mesra dengan Ahli Parlimen Bagan Serai dari Bersatu, Datuk Noor Azmi Ghazali selepas kerajaan PN terbentuk.

“Dengan ‘banner’ hanya diletakkan gambar YB Parlimen (Bagan Serai) dan YB Gunung Semanggol. Persoalannya di manakah gambar YB Selinsing (Mohamad Noor Dawoo) dan Alor Pongsu (Sham Mat Sahat)?

“Yang menjadi kehairanan di dalam gabungan PN tiada DAP di Bagan Serai, tapi kenapa masih tidak boleh bersama?” ujar Penyelaras DUN Selinsing itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Saqif juga mempertikaikan sama ada muafakat politik Pas di Bagan Serai dengan Umno hanya berlaku sebelum berkuasa sahaja.

“Apakah ini cerminan awal dinamika politik gabungan parti-parti Melayu menjelang PRU-15? Apakah wujud kemungkinan parti politik akan bertanding bersendirian?” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua parti politik akhirnya akan mengakui bahawa gabungan politik adalah ijtihad atau kaedah untuk mengambil alih pentadbiran sesebuah kerajaan.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama