Ahad, 31 Mei 2020

Rohingya Ditangkap Cuba Rentas Negeri


CUBAAN dua lelaki Rohingya merentas negeri dari Kedah ke Perlis tanpa kebenaran untuk mencari pekerjaan gagal selepas mereka ditahan di sekatan jalan raya di Jelempok, dekat Arau, semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, difahamkan kedua-dua lelaki berusia 26 dan 40 tahun dari Padang Sera, Kubang Pasu, itu berkeras untuk masuk ke negeri ini walaupun pada awalnya pihak berkuasa mengarahkan mereka supaya berpatah balik.

Namun, mereka memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan merayu supaya diberi kebenaran untuk merentas negeri sebelum ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kedua-duanya ditahan selepas tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan sudah menetap di negara ini lebih 10 tahun.

"Mereka ditahan kerana merentas negeri tanpa kebenaran bagi mencari pekerjaan dan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nanda berkata, warga asing berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Mereka juga akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Perlis bagi menjalani saringan Covid-19," katanya.

Katanya, sehingga kini, lima warga asing sudah ditahan atas kesalahan sama membabitkan warga Indonesia, Jerman dan Myanmar.

Sementara itu di Kangar, dua lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an ditahan polis atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran dengan alasan bersiar-siar menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kedua-dua mereka ditahan di Simpang Empat tengah hari semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini.-Harian Watan

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama