Ahad, 31 Mei 2020

PKPB: Dikompaun Berada Dalam Kedai Makan Selepas 10 Malam


LIMBANG: Seramai 13 individu dikenakan kompaun selepas didapati masih berada di dalam sebuah kedai makan di Jalan Pandaruan di sini melebihi jam 10 malam pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata individu yang dikompaun terdiri daripada tujuh pelanggan lelaki dan lima pelanggan wanita serta seorang lelaki yang merupakan pemilik premis, masing-masing berusia di antara 18 hingga 68 tahun.

"Semasa pemeriksaan sepasukan polis di premis tersebut pada jam kira-kira 10.05 malam mendapati premis masih dalam keadaan beroperasi walaupun waktu sudah melepasi jam 10 malam.

"Didapati juga kedudukan pelanggan tidak mengikut SOP (prosedur pengendalian standard) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya dalam satu kenyataan media.

Abang Zainal Abidin berkata kesemua individu terbabit dibawa ke Balai Polis Limbang dan dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama