Ahad, 31 Mei 2020

Pindaan Akta 333 perlu bela waris mangsa


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memasukkan peruntukan bagi membela waris mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk, dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), di samping mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pindaan itu perlu meletakkan tanggungjawab kepada pesalah untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi membela waris mangsa.

Jelasnya, pindaan itu wajar dan perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana hukuman sedia ada tidak berkesan kepada sejumlah pemandu yang dilihat tidak serik untuk memandu di bawah pengaruh alkohol.

"MCPF menyokong sepenuhnya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 membabitkan hukuman kepada pemandu di bawah pengaruh alkohol dilakukan pada sidang Parlimen, namun menggesa agar pelaksanaannya disegerakan.

"Perkara ini perlu diberi perhatian serius bukan sahaja membabitkan peruntukan Seksyen 44 berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, bahkan juga Seksyen 45 mengenai kesalahan memandu di bawah pengaruh minuman walaupun tidak terbabit dalam kemalangan.

"MCPF juga mencadangkan pindaan itu termasuk memberi pembelaan kepada waris mangsa untuk mengambil tindakan yang berpatutan terhadap pesalah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain mengenakan hukuman berat kepada pesalah yang memandu di bawah pengaruh alkohol, Lam Thye juga menggesa, pindaan Akta 333 turut membabitkan bahan terlarang lain yang boleh menjejaskan pemanduan seperti dadah, ubat-ubatan dan sebagainya.

Tegasnya, mekanisme tertentu juga perlu diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada pemandu mengenai kesalahan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang, sebelum mereka mendapat lesen memandu.

"Polis juga perlu melaksanakan operasi besar-besaran dan memperhebatkan lagi usaha untuk mengesan orang yang memandu dalam keadaan mabuk.

"MCPF membantah keras mereka yang memandu dalam keadaan mabuk. Mintalah bantuan orang lain untuk memandu jika anda mengambil minuman beralkohol," katanya.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama