Rabu, 13 Mei 2020

Sumbangan Makanan Berakhir Tragedi, Enam Maut


BERBALAH: Penunjuk perasaan berkumpul di luar pejabat gabenor semasa memprotes kerajaan di Firozkoh, wilayah Ghor kelmarin. — Gambar AFP

HERAT: Dua anggota polis dan empat orang awam terkorban di Afghanistan kelmarin susulan pertelagahan maut ketika sesi sumbangan makanan umum di wilayah tengah Ghor, menurut pihak berkuasa.


Beratus-ratus orang berkumpul di luar pejabat gabenor di ibu negara wilayah Firozkoh, di mana sebuah kumpulan dari Qatar sedang mengagihkan bantuan.

Kumpulan bantuan sedang mengagihkan makanan kepada kira-kira 1,000 keluarga tempatan ketika keganasan meletus.

Sebahagian mereka yang berbaris untuk menerima bantuan kemudian melancarkan protes mendakwa pengagihan tidak adil barangan makanan kepada keluarga miskin, Abdul Rahman Akshan, timbalan ketua bagi majlis wilayah Ghor memberitahu AFP.

Beliau menyatakan ramai penunjuk perasaan cuba untuk menyerbu masuk ke dalam pejabat gabenor, membawa kepada pergaduhan di antara mereka dan pihak polis yang berada di kawasan itu.


Pihak berkuasa mempersalahkan penunjuk perasaan kerana menimbulkan keganasan yang menyebabkan enam orang terkorban.

“Penunjuk perasaan melepaskan tembakan ke arah pihak polis,” menurut jurucakap gabenor wilayah Aref Haber.

“Empat orang awam termasuk seorang pekerja radio tempatan dan dua anggota polis terkorban,” menurut beliau, sambil menambah bahawa 19 orang turut tercedera.

Beliau menyatakan penunjuk perasaan turut memukul kakitangan keselamatan dan satu siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan.

Pihak kementerian dalam negeri mengesahkan angka kematian tersebut dalam satu kenyataan, menyatakan beberapa lelaki bersenjata dalam kumpulan perusuh menyerang bangunan kerajaan, menyebabkan pihak polis menembak ke udara bagi meleraikan orang ramai.

Timbalan Presiden Afghan Amrullah Saleh menyatakan serangan tersebut mengejutkan dan mengumumkan kerajaan sedang menyiasat secara serius insiden tersebut dalam satu kenyataan Facebook.

Namun ketua bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Afghanistan Shaharzad Akbar menulis dalam Twitter bahawa terdapat laporan yang membimbangkan mengenai polis menembak ke arah penunjuk perasaan di Ghor.

Beliau menyatakan perkara ini sama sekali tidak dapat diterima dan satu pasukan suruhanjaya sedang menyiasat insiden itu.

Sumbangan makanan merupakan amalan biasa di negara itu ketika bulan mulia Ramadan.

Afghanistan turut berdepan wabak COVID-19 yang berkembang yang memburukkan masalah melibatkan akses makanan di negara miskin.

Sejak beberapa minggu lepas pihak berkuasa telah mengagihkan roti di Kabul dan bahagian lain di negara ini sejak kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

Pihak kementerian kesihatan di Afghanistan setakat ini melaporkan 4,333 kes COVID-19 dan 115 kematian. — AFP

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama