Kerajaan Naik Taraf Pagar Sempadan Malaysia-Thailand
PADANG BESAR: Kerajaan akan menaik taraf dan memperbaiki pagar sempadan Malaysia - Thailand yang dirosakkan penyeludup bagi menjamin keselamatan kawasan itu dari semasa ke semasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ketika ini pagar sempadan Malaysia-Thailand yang siap dibina adalah sepanjang 110 kilometer berbanding panjang sebenar 662 kilometer membabitkan empat negeri.
"Seperti yang kita tahu, panjang pagar sedia ada hanyalah 110 kilometer sahaja berbanding panjang sempadan sebenar, tetapi kita akan menambah baiknya dari semasa ke semasa.
"Untuk menyiapkan pagar sepenuhnya, pembinaan bakal mengambil masa yang panjang, jadi sementara menunggu ia siap kita akan memperbaiki tembok sedia ada yang dilihat rosak bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di sini.
Mengulas mengenai penggunaan dron di sempadan negara bagi mengekang kegiatan jenayah, Hamzah berkata, penggunaan alat itu sepenuhnya pada ketika ini dilihat tidak sesuai.
Katanya, ketika ini tembok sempadan Malaysia-Thailand sudah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan isu jenayah tidak timbul.
"Kita sememangnya sudah menggunakan dron dalam perkara berkaitan keselamatan, tetapi kita masih mencari apakah kaedah yang lebih baik dalam mengekang aktiviti jenayah.
"Mengharapkan dron semata-mata bukan penentu atau jaminan tahap keselamatan sempadan terjamin, apa yang penting adalah kita menggunakan strategi terbaik dalam memanfaatkan kemudahan teknologi," katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, sejak Januari sehingga 30 April lalu, seramai 15,062 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan pihak berkuasa dan seramai 226 majikan sudah dikenakan tindakan.
Label: Pilihan
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama