Ahad, 31 Mei 2020

Kedutaan hantar Tiffin Raya kepada rakyat Malaysia di Thailand


BANGKOK: Rumah Terbuka Hari Raya anjuran Kedutaan Malaysia, di sini, sentiasa dinanti-nantikan oleh diaspora dan pelajar Malaysia di negara ini yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.

Mereka bukan saja berpeluang menikmati hidangan tradisional Hari Raya yang istimewa, malah rumah terbuka tahunan itu juga mengeratkan silaturahim sesama rakyat Malaysia.

Namun, tahun ini, acara itu dibatalkan sebagai mematuhi arahan Kerajaan Thailand yang melarang perhimpunan beramai-ramai dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Begitupun, Kedutaan Malaysia tetap berusaha memeriahkan sambutan Aidilfitri oleh rakyat Malaysia di negara ini, dengan menghantar 'Tiffin Raya', iaitu juadah raya yang diisi di dalam mangkuk tingkat berwarna-warni.

Bersama nota serangkap pantun 'Nasi impit di atas para, pilihan direbus di tepi Embassy, Tiffin dihantar sempena Raya, tanda ingatan di Aidilfitri,' mangkuk tingkat terbabit dihantar kepada 35 rakyat Malaysia, kelmarin.

Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Bangkok, Suzilah Mohd Sidek, berkata pihak kedutaan memutuskan untuk berkongsi juadah enak dengan pemimpin komuniti Malaysia, anggota komuniti yang aktif dan rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.

"Kakitangan di kedutaan berganding bahu menyediakan hidangan nasi himpit, kuah kacang dan rendang ayam," katanya kepada Bernama.

Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC), Dr Hwee Khim Boo, yang menerima mangkuk tingkat itu memuat naik hantaran dalam laman Facebook Kedutaan Malaysia, Bangkok, dengan menulis 'Terima Kasih (Duta Malaysia ke Thailand) Datuk Jojie Samuel dan semua cef! Kami adalah rakyat Malaysia yang bertuah."

Aishah Adam pula menulis 'Dari lubuk hati saya, terima kasih banyak-banyak Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok... sangat gembira untuk Tiffin Raya yang indah... membuatkan kami berasa seperti di rumah.'

Joanne Chung pula berkata, "Kami rakyat Malaysia sangat gembira menerima mangkuk bertingkat indah ini dengan juadah Hari Raya yang enak."

Thailand, negara pertama di luar China yang dikesan dengan kes COVID-19, mengisytiharkan darurat mulai 26 Mac hingga 30 April lalu sebelum melanjutkannya hingga 31 Mei dan kemudian 30 Jun, bagi membendung penularan wabak itu.

Kerajaan Thailand mula melaksanakan kelonggaran sekatan fasa pertama pada 3 Mei lalu dan fasa kedua bermula 17 Mei, manakala fasa ketiga akan bermula esok. – BERNAMA

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama