Isnin, 13 April 2020

PKP: Tiga lelaki ambil peluang teroka hutan simpan



PADANG TERAP: Seorang lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) Kedah, ketika sedang  menceroboh Hutan Simpan Kekal Padang Terap di sini, kelmarin.

Namun, dalam serbuan itu dua lagi rakan suspek berjaya meloloskan diri.

Pengarah JPN Kedah, Roslan Rani, berkata lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan ketika sedang leka membersihkan hutan di kawasan kompartmen 38 pada jam 4.30 petang.

Katanya, kegiatan tiga lelaki terbabit disedari orang awam yang kemudiannya menyalurkan maklumat kepada pihak jabatan.

“Dua rakannya berusia antara 30-an hingga 40-an sedang menebang pokok dan bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sambil membawa gergaji.

“Mereka dipercayai mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan kegiatan terbabit sejak minggu lalu bagi tujuan menanam pokok durian.

“Modus operandi mereka adalah dengan menebang pokok sebelum membakar dan meratakan tanah untuk pertanian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Roslan berkata akibat kegiatan tidak bertanggungjawab itu, kerajaan rugi lebih RM50,000 selepas pokok berkualiti tinggi seperti meranti dan merbau ditebang di kawasan seluas tiga hektar.

Katanya, lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

“Turut dirampas tiga motosikal dan empat parang yang digunakan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama