Isnin, 13 April 2020

PKP: Polis Tahan Lelaki Ada Dadah Jenis Heroin


KLANG-Dilaporkan polis telah menahan seorang lelaki bersama dadah jenis heroin berat sekitar 41.7 gram di Sekatan Jalan Raya (SJR) Op COVID-19 di Jalan Sungai Udang, Kampung Delek, petang semalam.



Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata suspek yang dipercayai pengedar dadah ditahan untuk pemeriksaan di SJR terbabit kira-kira jam 3.30 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu beg kecil mengandungi 30 peket dadah disyaki heroin dalam poket seluar dipakai suspek, dianggarkan seberat 41.7 gram bernilai RM1,500.

“Siasatan mendapati, suspek warga tempatan yang berumur 48 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, siasatan juga mendapati suspek kembali aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun 2020.

“Siasatan ke atas kes ini masih diteruskan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Sementara itu katanya, kira-kira jam 4.30 pagi tadi, anggota ronda MPV Op COVID-19 Klang Selatan berjaya memberkas seorang lelaki, 27 tahun bersama dadah jenis Syabu.

“Polis menahan sebuah kereta jenis Honda Jazz dipandu lelaki itu di Lorong Batu Nilam 15D, hasil pemeriksaan polis menemuii 17 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 52.06 gram.

“Kita masih terus menjalankan siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Sementara itu katanya, seramai 108 orang awam dikenakan kompaun RM1,000 bagi atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Khamis lalu sehingga semalam.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan melaksanakan sembilan SJR, ini membabitkan lima SJR statik dan empat SJR bergerak.

“Lokasi bagi SJR statik adalah susur keluar MPK, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) susur keluar Jalan Kebun, Jalan Langat Berhadapan Indah Water, Jalan Dato’ Sidin dan Jalan Sungai Udang Kampung Delek.

“Bagi SJR bergerak pula, ia membabitkan kawasan Sentosa, Bukit Tinggi, Pandamaran dan Pelabuhan Klang,” katanya.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama