Jumlah Orang Dikompaun Ingkar PKP di Sarawak Meningkat
Beliau menjelaskan, pada peringkat awal PKP sebelum ini, polis hanya mengambil pendekatan memberi nasihat atau amaran sahaja.
"Sekarang sudah hampir sebulan PKP dikuatkuasakan, cukuplah memberi nasihat atau amaran, polis akan bertindak tegas sekarang dalam mengeluarkan kompaun atau menangkap orang-orang yang tidak bekerjasama atau menghalang tugas kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tempoh 24 jam dari 8 pagi semalam sehingga 8 pagi hari ini, Dev berkata, jumlah orang dikompaun meningkat kepada 95 orang kerana ingkar PKP berbanding 89 orang bagi tempoh masa sama pada 10 hingga 11 April, 73 orang (9 hingga 10 April) dan tujuh orang (8 hingga 9 April).
Mengulas lanjut, jelas beliau, daripada 95 orang dikompaun itu, Kuching merekodkan jumlah paling ramai iaitu 25 orang diikuti Sarikei (21), Kota Samarahan (14), Betong (7), Miri (4), Bau (4), Simunjan (4), Saratok (4), Bintulu (3), Padawan (2), Kapit (2), Matu Daro (2), Sibu (1), Marudi (1) dan Lubok Antu (1).
"Ini menjadikan jumlah orang dikompaun keseluruhan di Sarawak sejak 18 Mac 2020 adalah seramai 264 orang," katanya.
Bagi jumlah tangkapan individu yang ingkar PKP pula, beliau memberitahu, untuk tempoh 24 jam dari 8 pagi semalam sehingga 8 pagi hari ini, seramai 17 orang ditangkap.
Jelas Dev, tangkapan itu dibuat di Miri dengan jumlah seramai sembilan orang, Kuching (2), Sibu (2), Padawan (2), Dalat (1) dan Tatau (1), menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan di Sarawak adalah seramai 573 orang.
Dalam pada itu, Dev menjelaskan persepsi masyarakat yang beranggapan masih ramai orang melanggar PKP kerana melihat banyak kereta di jalanraya dan diperkukuhkan lagi apabila orang melihat berlaku kesesakan di sekatan jalan raya.
"Saya juga sentiasa menerima aduan bahawa banyak kereta di jalanraya, persepsi ini sebenarnya tidak tepat.
"Masyarakat perlu faham bahawa orang ramai masih boleh keluar, apa yang dikuatkuasakan sekarang bukan 'curfew' (perintah berkurung) tetapi adalah kawalan pergerakan," jelasnya.
Dev berkata, orang ramai masih boleh keluar mulai jam 7 pagi hingga 7 petang di Sarawak untuk membeli makanan, keperluan harian, penokok diet, pergi ke hospital dan farmasi, menjalankan apa-apa tugas rasmi atau berkaitan dengan perkhidmatan perlu, pergi ke stesen minyak, bank dan beberapa lagi.
Tambahnya, pada hari Selasa dan Khamis, orang ramai boleh pergi ke kedai hardware, kedai baja dan racun, kedai menjual makanan haiwan dan kedai menjual alat ganti kenderaan.
"Apabila polis di sekatan jalan raya menahan sebuah kereta, katakan pada jam 9 pagi dan orang itu memberi alasan bahawa dia hendak ke pasar atau mana-mana tempat yang dibenarkan, polis tidak ada pilihan dan perlu membenarkan orang itu bergerak.
"Tidak ada sebarang bukti yang perlu ditunjukkan oleh orang itu dan Polis juga tidak mampu untuk mengikut orang berkenaan untuk melihat sama ada dia betul-betul pergi ke pasar atau tidak," jelasnya.
Mengenai orang awam bergerak atas sebab khas seperti hadir pengebumian, bergerak antara daerah dan sebagainya, Dev berkata, pergerakan begini memerlukan surat kebenaran daripada Ketua Polis Balai berdekatan.
Katanya, dalam tempoh 11 hari ini bermula PKP Fasa Dua, seramai 19,142 orang telah datang ke 89 balai di Sarawak untuk mendapatkan surat kebenaran bergerak atas sebab khas dan tertentu.
Jelas beliau, daripada jumlah itu, 17,093 orang telah diberi surat kebenaran manakala 2,060 orang telah ditolak atas alasan yang tidak kukuh.
Manakala masalah kesesakan di sekatan jalan raya pula, Dev menjelaskan ia adalah disebabkan petugas di sekatan jalan raya mengambil masa untuk menyoal pemandu setiap kenderaan.
Tegasnya, dalam tempoh PKP ini, polis tidak akan melonggarkan kawalan di sekatan jalan raya untuk melicinkan pergerakan kenderaan.
"Jika orang ramai tidak mahu sangkut dalam kesesakan, elakkan untuk keluar melainkan ada hal yang penting sahaja.
"Saya yakin kebanyakan orang yang keluar dari jam 7 pagi hingga 7 petang mempunyai sebab munsabah untuk keluar," ujarnya.
Tahap pematuhan PKP di Sarawak adalah tinggi, iaitu lebih dari 97 peratus.
Label: Pilihan
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama