Pasangan Aceh disebat di khalayak ramai
Hukuman di khalayak ramai itu bagaimanapun tidak dihadiri ramai orang berikutan masyarakat umum masih bimbangkan penularan COVID-19.
Aceh adalah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam secara tegas termasuk hukuman sebat bagi kesalahan seperti berjudi, berkhalwat, minum alkohol dan hubungan seks luar tabii.
Pihak berkuasa tetap melaksanakan hukuman itu dengan menegaskan bahawa semua langkah keselamatan dipatuhi, walaupun kerajaan mengumumkan larangan mengadakan perhimpunan ketika menghadapi pandemik COVID-19.
Pasangan yang menerima hukuman itu diambil suhu badan dan dipakaikan pelitup muka sebelum disebat hari ini di perkarangan sebuah masjid di barat Sumatera.
Hukum sebat bagi pesalah lelaki terpaksa dihentikan sementara apabila dia tidak dapat menahan sakit manakala seorang lagi tukang sebat terpaksa mengambil alih pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah wanita.
Ketua Jenayah Am di pejabat pendakwa wilayah Aceh Besar, Agus Kelana Putra, berkata pasangan muda itu layak menerima hukuman itu kerana melanggar undang-undang Islam.
Seorang lagi lelaki yang ditahan di sebuah bilik hotel kerana bersekedudukan dengan teman wanitanya menerima hukuman sebat sebanyak 40 kali manakala pasangannya terselamat kerana masih bawah umur.
Seorang penduduk tempatan, Faisal, berkata hanya puluhan orang menyaksikan hukuman sebat hari ini berbanding ratusan menyaksikannya sebelum penularan wabak COVID-19.
"Tidak ramai yang datang hari ini kerana mereka sudah banyak kali menyaksikannya sebelum ini atau mungkin takutkan COVID-19," katanya. - AFP
Label: Antarabangsa
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama