Sabtu, 6 Jun 2020

COVID-19: Pakai topeng muka di lokasi berisiko tinggi - WHO


GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa masyarakat seluruh dunia memakai topeng penutup muka di lokasi yang berisiko tinggi dalam penyebaran COVID-19.

Pekerja dan penjaga kesihatan juga turut digesa memakai topeng perubatan ketika menjalankan kerja di bahagian klinikal.

Pengumuman itu adalah berbeza berbanding nasihat WHO yang sebelum ini menasihati, hanya mereka yang sakit atau menguruskan orang sakit perlu memakai topeng muka.

"Di tempat yang berisiko penyebaran, WHO menasihati setiap pekerja dalam kawasan klinikal memakai topeng perubatan.

Kini nasihat itu tidak hanya kepada mereka yang menguruskan pesakit COVID-19.

"Kedua, dalam komuniti, kami juga menasihati mereka yang berusia lebih 60 tahun ke atas atau mereka yang berdepan masalah kesihatan, perlu memakai topeng muka perubatan di lokasi yang sukar untuk melakukan penjarakan fizikal," kata Ketua Pengarah, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau juga menasihati, setiap kerajaan supaya menggalakkan orang awam untuk memakai topeng muka di kawasan berisiko penyebaran serta sukar melakukan penjarakan fizikal seperti di kenderaan awam, premis, lokasi berkurung dan tumpuan awam.

Tedros menjelaskan, panduan baharu itu adalah berdasarkan perkembangan semasa wabak.

"Panduan ini mempunyai maklumat terbaru mengenai komposisi fabrik topeng, berdasarkan kajian yang dilakukan WHO," katanya.

Sementara itu, ketua teknikal coronavirus WHO, Maria Van Kerkhove, turut mengakui keperluan memakai topeng muka bagi mencegah jangkitan COVID-19.

"Kami menggesa supaya ia dipakai dalam situasi yang berisiko mendapat jangkitan, situasi yang sukar melakukan penjarakan.

"Boleh dipakai dan harus dipakai adalah sesuatu yang harus dipertimbangkan secara serius," katanya.

Rekomendasi terbaru terhadap fabrik topeng muka ini, adalah seharusnya mempunyai tiga lapisan iaitu lapisan dalam yang menyerap seperti kain kapas, lapisan tengah yang bertindak sebagai penapis atau penghalang seperti polypropylene dan lapisan luar yang tidak menyerap seperti polyester atau campuran polyester.

Van Kerkhov menjelaskan, kain seperti sutera, berliang atau boleh diregang harus dielakkan.

"Kami sedang berusaha untuk mengeluarkan panduan bagi memastikan ia boleh dilakukan kerana jika anda mahu menggunakan topeng jenis kain, kain-kain tertentu digalakkan untuk diguna.

"Bagaimanapun kami juga merasakan topeng muka tidak cukup kuat dan risau jika ramai yang merasakan mereka sudah dilindungi sepenuhnya apabila memakai topeng ini. Ia adalah tidak benar," katanya. - AGENSI

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama