Rabu, 27 Mei 2020

RM27,000 Dilarikan Penjenayah



KEPALA BATAS: Pemilik kilang memproses beras dan tepung di Permatang Janggus, Penaga, di sini, kerugian kira-kira RM27,000 selepas premis dimasuki penjenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada pengurus kilang terbabit berhubung insiden itu, semalam.

"Mangsa menyedari kejadian itu apabila dia datang ke tempat kerjanya pada jam 1 tengah hari semalam, sebelum mendapati ruang pejabatnya dalam keadaan berselerak selain dinding cermin di bahagian belakang dipotong.

"Selepas itu, mangsa terus membuat pemeriksaan pada peti besi yang menjadi tempat dia menyimpan wang dan terkejut apabila peti itu dalam keadaan terbuka dan wang berjumlah RM27,000 yang disimpannya sudah hilang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bahagian luar kilangnya.

"Dalam rakaman itu terdapat imej tiga lelaki tidak dikenali memakai penutup muka dan bersarung tangan masuk melalui belakang kilang pada jam 1 pagi kelmarin.

"Ketiga-tiga suspek itu mengambil masa lebih tiga jam untuk memecah peti besi kerana mereka keluar dari kilang itu pada jam 4.26 pagi," katanya.

Noorzainy berkata, kilang itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang, namun ketika kejadian semua pekerja bercuti menyambut Aidilfitri.

"Polis dalam usaha mengesan suspek terbabit dan orang awam yang ternampak individu mencurigakan boleh menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Gambar digunakan hanyalah hiasan,,,,

Label: ,

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama