Isnin, 4 Mei 2020

'Bagaimana Ogy Boleh Tidur Setiap Malam', Penulis Soal Tak Bayar Teater



KUALA LUMPUR, 4 Mei ― Isu tunggakan bayaran pelakon teater Korupsi Dewan Senandung menunjukkan industri seni rapuh dalam menangani isu bayaran, kata penulis buku.


Fazleena Hishamuddin berkata penerbit teater Fauziah Ahmad Daud yang berpuluh tahun berada dalam industri sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dan bukannya memberi alasan “pinjaman bank tidak diluluskan”.


“Meminta tenaga produksi bersabar adalah tindakan paling pentingkan diri dan bodoh sombong.

“Macam mana agaknya dia boleh tidur sepanjang malam,” catatnya di Twitter.


“Ini bukan saja boleh jatuhkan reputasinya...seni sendiri sampai bila-bila tidak akan dihormati.”


Katanya Fauziah, lebih dikenali sebagai Ogy perlu segera menyelesaikan isu itu dan menyarankan agar meminjam daripada mana-mana jutawan termasuk ahli perniagaan kosmetik terkenal Datuk Seri Aliff Syukri Kamarulzaman.

“Juallah segala harta benda yang anda, atau pinjamlah pada jutawan. Mintalah belas pada Aliff Syukri, yang penting bayar segala yang telah dijanjikan.

“Keringat dan air mata yang telah tumpah akan jadi doa, jika dia jernihkan segala kekusutan,” catatnya.

Minggu lalu laporan polis dibuat terhadap produksi Ogy Ventures & Network selepas Ogy dikatakan “lari” daripada melangsaikan bayaran penuh dan menyekat media sosialnya dengan para pelakon.

Teater komedi yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu diarahkan oleh Khir Rahman dan dibintangi Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai, dan Sharif Zero.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama