Jumaat, 29 Mei 2020

Azmin dikritik langgar PKPB


KUALA LUMPUR, 29 Mei ― Kalangan pengikut laman sosial Facebook mempersoalkan tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengunjungi rumah orang kanannya dalam politik di Pulau Pinang sewaktu dalam perjalanan pulang ke ibu kota.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuat naik hantaran di media sosial menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin sebaik pulang dari lawatan kerja sehari di Kedah semalam.

“Dalam perjalanan pulang dari Kedah, singgah di Seberang Jaya menziarahi teman sejati Dr Afif dan keluarga. Alhamdulillah beliau sihat dan bertenaga untuk bersama meneruskan perjuangan,” tulis hantaran itu.

Exco Kedah Azman Nasrudin turut kelihatan dalam gambar yang dikepilkan.

Warga maya bagaimanapun menganggap Azmin melanggar garis panduan operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membenarkan amalan ziarah hanya pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Rakyat marhaen ramai kena saman terima tetamu rentas negeri apa semua. Nak jaga supaya (Covid-19) jangan merebak. Kata #stayhome ni apa cerita? Langsung tak menunjukkan dari seorang pemimpin. Gagal,” tulis Muhammad Salmizam Zainal Abidi.

“Menteri kanan pun tak ikut SOP ke? Raya ke-5 pergi ziarah sahabat. Rakyat tak boleh (golongan) kayangan boleh. Apa ni? #pdrm mohon siasat,” tulis Afiq Bakri pula.

Beberapa pengikut turut berkongsi khidmat pesanan ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai larangan merentas negeri serta pihak yang ingkar berdepan tindakan berpatah balik atau kompaun sebanyak RM1,000.

Malah kunjungan bekas timbalan presiden PKR itu ke rumah Dr Afif, bekas exco Pulau Pinang yang digantung keahlian PKR, disifatkan bukan atas kapasiti seorang menteri tetapi lebih kepada urusan peribadi.

Pengguna Facebook Muhd Shafiq pula menyindir kononnya golongan kenamaan kebal jangkitan Covid-19.

“Untuk pengetahuan semua penyakit Covid-19 tidak boleh kena pada menteri-menteri atau orang-orang atasan contohnya seperti gambar di atas ini. Penyakit ini amat mudah terkena pada rakyat-rakyat biasa. Sebab itu beliau bebas pergi ke mana sahaja tanpa ada sebarang penyakit kerana mereka kebal,” usik Shafiq.

Azmin ke Kedah bertemu menteri besar yang baru dilantik, Muhammad Sanusi Md Noor bagi membincangkan peluang pelaburan pasca Covid-19.

Wakil rakyat Gombak itu juga dilapor mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perniagaan dan pemimpin komuniti tempatan.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama