8 Ditahan Susulan Kes Dera Kanak-Kanak Di Rumah Kebajikan
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kesemua suspek berusia antara 18 hingga 65 tahun kini direman empat hari mulai hari ini.
"Setakat ini kita sudah mengambil keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai kes pencerobohan dan ugutan yang dilaporkan oleh pemilik rumah kebajikan itu pada 5 Mei lalu, Arifai berkata empat suspek sudah ditahan dan kertas siasatan berasingan sudah dilengkapkan.
"Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 39 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Selayang esok.
"Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan (menceroboh) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (membuat ugutan jenayah)," katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis merakam keterangan sembilan remaja berusia 13 hingga 18 tahun susulan penularan satu rakaman video penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang didakwa berlaku di rumah kebajikan terbabit.
Siasatan polis dijalankan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita tempatan yang pernah tinggal di rumah kebajikan terbabit selepas diberitahu orang awam berhubung rakaman video berkenaan.
Arifai dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan wanita berusia 36 tahun itu dikatakan merakam sendiri video kegiatan pengabaian kanak-kanak yang berlaku di rumah kebajikan berkenaan.
Tujuan wanita itu merakam supaya ia dapat ditunjukkan kepada ibu bapa kanak-kanak dan juga dihantar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Arifai, wanita berkenaan dikatakan pernah tinggal di rumah kebajikan itu selama dua minggu dan mendakwa ada kanak-kanak di situ dipaksa membuat sampul duit raya serta dipukul jika enggan berbuat demikian.
Menurutnya, wanita itu turut mendakwa beberapa kanak-kanak lelaki di situ juga pernah diliwat.
Arifai berkata sembilan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun yang berada di rumah kebajikan itu dihantar ke Child Interview Center (CIC) dan Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan.-Berita Harian
Label: Kes&Jenayah
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama