Aidilfitri: Taliban umum gencatan senjata selama tiga hari
Langkah mengejutkan itu menyusuli pertempuran berdarah selama berbulan-bulan dengan tentera Afghanistan, selepas kumpulan berkenaan memeterai perjanjian bersejarah bersama Amerika Syarikat (AS).
Presiden Ashraf Ghani segera mengalu-alukan tawaran itu dan mengarahkan pasukan tenteranya untuk turut mematuhi gencatan senjata berkenaan, manakala perutusan AS ke Afghanistan memuji perjanjian terbabit sebagai 'peluang penting'.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, dalam satu kenyataan melalui media sosial memaklumkan, kepemimpinan kumpulan itu mengarahkan semua pejuang mereka supaya mengambil langkah khas untuk keselamatan serta tidak menjalankan operasi ofensif ke atas musuh di mana-mana.
Kenyataan yang turut mengumumkan pemberhentian pertempuran sepanjang tempoh tiga hari sambutan Aidilfitri itu mengarahkan pejuang Taliban supaya tidak memasuki kawasan kerajaan.
Pada masa sama, katanya, tentera Kabul juga tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan di bawah penguasaan dan kawalan Taliban.
Sejak pencerobohan AS pada 2001, hanya ada satu lagi pemberhentian pertempuran yang singkat, iaitu gencatan senjata mengejutkan selama tiga hari antara Taliban dengan Kabul sempena sambutan Aidilfitri pada 2018.
Ia berikutan seruan gencatan senjata oleh Ashraf, diterima oleh pihak pemberontak berkenaan.
Ketika itu, rakyat Afghanistan meraikan tempoh damai singkat berkenaan dengan pejuang Taliban, pasukan keselamatan dan orang awam saling berpelukan, berkongsi aiskrim serta merakamkan selfie dalam suasana yang tidak dapat dibayangkan sebelumnya.
Semalam, Ashraf menerima tawaran gencatan senjata oleh Taliban pada kali ini tanpa berlengah.
"Saya mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata oleh Taliban.
"Sebagai ketua komander, saya telah mengarahkan ANDSF (Pasukan Keselamatan Pertahanan Kebangsaan Afghanistan) untuk mematuhi gencatan senjata selama tiga hari itu dan bertindak mempertahankan diri hanya jika diserang," katanya melalui Twitter.
Pengumuman itu menyusul hanya beberapa hari selepas pemimpin Taliban, Haibatullah Akhundzada, menggesa Washington supaya 'tidak mensia-siakan' tawaran peluang dalam perjanjian dimeterai militan berkenaan dengan AS pada Februari lalu yang membuka laluan untuk pengunduran tentera asing dari negara ini.
Perjanjian AS-Taliban itu menyasarkan pembukaan laluan untuk pihak pemberontak mengadakan rundingan damai secara langsung dengan Kabul.
Semalam, Perwakilan Khas AS ke Afghanistan, Zalmay Khalilzad yang terbabit dalam mengusahakan perjanjian berkenaan, berkata melalui Twitter bahawa AS mengalu-alukan keputusan Taliban untuk melaksanakan gencatan senjata ketika Aidilfitri serta pengumuman balas yang sama oleh Kerajaan Afghanistan.
Beliau sekali gus menggesa Taliban untuk terus mematuhi perjanjian serta menyifatkan pemberhentian keganasan sebagai 'peluang penting yang tidak harus dilepaskan' sambil berikrar AS akan 'menjalankan peranannya untuk membantu'.
Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg, turut mengalu-alukan gencatan senjata itu dan menggesa semua pihak 'merebut peluang itu untuk keamanan demi kebaikan seluruh rakyat Afghanistan'. - AFP
Label: Antarabangsa
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama