COVID-19: Doktor Rayu Bantuan PPE Untuk Hospital Meninggal Dunia
Beliau lebih dikenali sebagai doktor yang merayu kepada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, menerusi Facebook supaya kerajaan sediakan lebih banyak peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan hospital.
Dr Chowdhury, yang sebelum ini bertugas di Hospital Homerton di Hackney, timur London, membuat rayuan itu kira-kira sebulan lalu selain mahu semua petugas kesihatan melalui saringan supaya kesihatan mereka sentiasa dipantau.
“Kepada Perdana Menteri dihormati, Boris Johnson, tolong sediakan segera PPE untuk setiap kakitangan dan petugas kesihatan NHS,” tulisnya di laman Facebook.
Katanya, petugas kesihatan secara langsung adalah kontak rapat dengan pesakit di samping mempunyai hak asasi seperti orang lain untuk hidup selamat dengan keluarga tersayang tanpa bimbang dijangkiti COVID-19.
Sementara itu, Datuk Bandar Hackney, Philip Glanville, dalam ciapan twitter, menganggap Dr Chowdhury sebagai hero negara.
“Saya harap kematiannya bukan disebabkan isu kekurangan PPE dan ujian berkaitan yang disuarakannya.
“Ia satu kehilangan besar dalam ikhtiarnya memberi rawatan terbaik kepada masyarakat, memastikan kami selamat dan kakitangannya mendapat keperluan mencukupi,” katanya.
Persatuan Doktor Islam berkata mereka sangat sedih dengan kematian Dr Chowdhury, anak kelahiran Bangladesh berusia 53 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan.
Berdasarkan catatan Facebook, Dr Chowdhury meninggalkan seorang isterinya dan dua anak. - AGENSI
Label: Antarabangsa
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama