1,800 Bakul Makanan Sudah Diagihkan di Labuan
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, Ansharey Matarsad, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban masyarakat yang terkesan dengan COVID-19 dan usaha untuk mengesan mereka yang betul-betul yang layak menerima bantuan itu.
“Setakat ini sebanyak 4,200 permohonan diterima dan sedang melalui proses saringan mengikut kriteria yang telah ditetapkan untuk menjamin bantuan tersebut sampai ke kumpulan sasar selain mengelakkan pertindihan bantuan.
“Kami juga mempercepatkan proses agihan kepada pemohon yang layak agar sumbangan ini segera diterima mereka yang terjejas dengan COVID-19,”katanya.
Beliau juga memohon orang perseorangan, badan korporat dan badan bukan kerajaan yang ingin menyumbang agar menyerahkannya kepada JKM untuk menyelaraskan sumbangan kepada masyarakat.
“Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami mohon agar kami sebagai Jawatankuasa Kebajikan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan untuk selaraskan sumbangan itu untuk disampaikan bukan sahaja kepada mereka yang terjejas tetapi juga kepada petugas barisan hadapan,”jelasnya selepas menerima sumbangan 100 kit makanan daripada Syarikat Yuwang Trading, di Bangunan JKM Labuan.
Ansharey mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan mengalu-alukan sumbangan dan sokongan seperti itu yang bukan sahaja memanfaatkan mereka yang terkesan dengan COVID-19 tetapi kepada petugas barisan hadapan seperti anggota Sukarelewan Malaysia (RELA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan sasar di sekitar Labuan.
Sementara itu, Pengurus Syarikat Yuwang Trading, Alex Lee berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membantu golongan sasar yang terjejas semasa penularan wabak COVID-19 .
“Saya merayu kepada individu, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan untuk sama-sama menyumbang kepada rakyat yang memerlukan bantuan dan kami akan terus memberi sumbangan dalam bentuk yang lain seperti topeng muka dan sumbangan lain mengikut kesesuaian,”katanya.- Jabatan Penerangan Labuan.
Label: Pilihan
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama