Isnin, 8 Jun 2020

Hotel Langkawi terima 1,000 tempahan palsu — Sri Ganesh Michiel


8 JUN — Kami berpendapat bahawa berita yang menyatakan bahawa Hotel di Langkawi telah menerima 1000 tempahan bilik dalam masa 45 minit selepas pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah suatu berita yang langsung tidak masuk akal.

Pihak kami telah membuat pengesahan dengan Datuk Noorazly Rosly yang merupakan wakil kami di Langkawi dan juga Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang dan ICT Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) dan telah dimaklumkan bahawa berita yang telah disampaikan tersebut adalah tidak benar.

Tidak dinafikan bahawa ramai yang sedang menunggu untuk bercuti setelah sekian lama terpaksa berada di rumah masing-masing atau tidak dapat merentas negeri untuk ke sesuatu tempat.

Namun, pandangan yang telah dikeluarkan itu perlu lebih jelas lagi supaya ianya tidak memberi gambaran yang salah bahawa industri pelancongan telah tidak terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dan akan menyebabkan pihak pekerja di sektor perhotelan menganggap bahawa apa yang disampaikan oleh majikan mereka berkenaan situasi perniagaan perhotelan adalah tidak benar .


Pihak kami ingin menasihatkan kepada semua ahli-ahli Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) dan mereka yang menggunakan perkhidmatan hotel untuk sama-sama mengikut peraturan-peraturan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia serta agensi-agensi berkaitan dalam usaha membendung penularan Wabak Covid-19.


Kami juga ingin menyeru kepada pihak kerajaan untuk segera mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi penggunaan kemudahan-kemudahan di suatu hotel mahupun resort seperti kolam renang, karaoke, gimnasium dan lain-lain supaya mereka yang bercuti atau menginap dimana-mana hotel dan resort tersebut dapat mengguna pakai kemudahan-kemudahan yang disediakan serta tidak mempertikaikan mengenai sebarang peraturan yang ditetapkan oleh pihak hotel dan resort tersebut.

Kami juga ingin menasihati pihak-pihak yang mencari suatu premis penginapan untuk senantiasa mengunakan perkhidmatan hotel, resort dan agensi pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sahaja.

* Dr Sri Ganesh Michiel adalah timbalan presiden merangkap pengerusi biro undang-undang dan ICT Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA).

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama