Khamis, 16 April 2020

15 Warga Pakistan Beri alasan Mahu Solat Berjemaah Didakwa


KUALA LUMPUR – Seramai 15 pekerja restoran warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan alasan mahu menunaikan solat berjemaah 4 April lalu.

Tertuduh Sajjad Ur Rehman, 24; Adeel Imran, 28; Shahzad Ahmad, 37; Muhammad Wajid, 26; Raja Adnan Hussain Tabassum, 28; Mummad Qasim Khuhawar, 35, Touqeer, 24; Mohammad Abdul Khalek, Azhar Abbas, 34; Maasood Ali; Farhan Ali, 25, Muhammad Aziz, 31; Kuldeep Kumar, 25; Muhammad Aslam, 23 dan Zahid Sami Ullah, 25 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati bergerak dari satu kawasan berjangkit ke kawasan lain yang diwartakan di sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi pada jam 9 malam dengan alasan mahu menunaikan solat berjemaah.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, empat daripada 15 tertuduh berdepan pertuduhan berasingan iaitu tidak mempunyai dokumen perjalanan dan memasuki negara ini secara tidak sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) Akta sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan sebat tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai lapan daripada mereka turut dituduh atas pertuduhan berada di negara ini melebihi tempoh sah.

Mereka itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (4) Akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam, P Muniswer memohon mahkamah menawarkan jaminan pada kadar yang rendah memandangkan ini merupakan kesalahan pertama dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar membantah kerana mereka sepatutnya mengetahui penguatkuasaan PKP yang dibuat sudah memasuki fasa ketiga.

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama