Ahad, 16 Ogos 2020

COVID-19: India Melebihi 2.5 Juta Kes


HONG KONG: Jumlah kes COVID-19 di India hari ini, melepasi 2.5 juta, manakala Filipina merekodkan 4,351 kes jangkitan harian baru.

Data terkini Kementerian Kesihatan India itu menyaksikan jumlah keseluruhan kes jangkitan virus terbabit melebihi 2.59 juta, termasuk mengakibatkan 50,099 kematian.

Sebanyak 65,200 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan 996 kematian manakala 668,220 kes COVID-19 disahkan masih aktif di seluruh India.

Sementara itu, jumlah kes COVID-19 di Filipina meningkat kepada 157,918 kes selepas Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 4,351 kes harian baharu, hari ini.

Angka korban turut meningkat kepada 2,600 orang selepas 159 lagi kematian direkodkan, berpunca daripada virus terbabit.

Kementerian Kesihatan Indonesia pula melaporkan jangkitan COVID-19 meningkat 2,345 kes dalam sehari, menjadikan jumlah kumulatif 137,468 kes selain 50 kes kematian harian, menjadikan jumlah keseluruhan 6,071 kematian.

Sebanyak 1,703 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan 91,321 mangsa disahkan sembuh.

Kementerian Kesihatan New Zealand, dalam satu kenyataan hari ini, merekodkan tujuh kes COVID-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Katanya, enam kes mempunyai kaitan dengan penularan kluster sebelum ini, dan satu kes lagi masih dalam siasatan.

Angka itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di New Zealand sebanyak 1,258 kes, berdasarkan jumlah yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara global, setakat ini virus terbabit sudah menjangkiti 21,617,972 orang termasuk mengakibatkan 769,006 kematian selain 14,334,222 mangsa disahkan sembuh di 213 negara di seluruh dunia, sejak virus itu dikesan Disember lalu di China. - AGENSI

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama