Selasa, 28 Julai 2020

Buka Gelang Tangan Kuarantin Dikompaun RM2,000


TAWAU-Padah menanggalkan gelang tangan kuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini, seorang lelaki dikenakan kompaun sebanyak RM2,000.

Pegawai Pejabat Kesihatan dan Persekitaran Kawasan Tawau Rahman Sampe berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes berkenaan, semalam.

“Hasil siasatan yang dijalankan, kami mendapati lelaki itu melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Terdapat dua kesalahan yang dilakukan menyebabkan suspek perlu membayar RM2,000,” katanya.

Jika suspek gagal menjelaskan denda dalam tempoh 14 hari, lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah bagi proses pendakwaan.

Khamis lalu lelaki berkenaan yang baru pulang dari Jepun, bertindak menanggalkan gelang tangan kuarantin di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke Tawau menaiki kapal terbang.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau, suspek berusia 30-an itu, turut memalsukan deklarasi kesihatan termasuk sejarah perjalanan ke luar negara bagi mengelak menjalani kuarantin di rumah.

Suspek kemudian menghubungi Pejabat Kesihatan Tawau, minggu lalu, dan memaklumkan kehilangan gelang tangan tersebut, dipercayai bimbang berikutan tular beberapa keping gambar di laman sosial berkaitan tindakan individu yang memakai gelang tangan Covid-19 di tempat awam termasuk premis makanan di Perak dan Kuala Lumpur.

Turut tular, gambar seutas gelang tangan yang dibuang di lantai KLIA bertarikh 20 Julai 2020, dipercayai milik individu datang dari luar negara.- BorneoToday


Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama