Sabtu, 6 Jun 2020

Lakukan gencatan politik demi rakyat Malaysia


Wujudkan gencatan politik.

Itu gesaan Pemuda Umno Malaysia kepada semua ahli politik sebagai langkah membantu merealisasikan agenda pemulihan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kata ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tempoh tiga ke enam bulan akan datang merupakan waktu paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar kesan serangan wabak Covid-19.

Untuk rekod, susulan ancaman Covid-19 dan penguatkuasaan PKP telah menyebabkan sektor ekonomi terjejas.

Kata Dr Asyraf dalam satu kenyataan, bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat, Pemuda Umno menyarankan agar ahli politik – tidak kira daripada gabungan dalam kerajaan mahupun pembangkang – dapat segera melakukan gencatan politik buat seketika.



“Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” katanya.

Komen beliau ini dibuat susulan pelbagai spekulasi tentang usaha pembangkang untuk mengambil alih kerajaan PN.

Kerajaan PH jatuh pada Februari lalu selepas berlaku krisis sehingga menyaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan Dr Mahathir selepas menemu bual Ahli Parlimen yang disokong mereka.

Kerajaan PN dibentuk dengan sokongan Bersatu dan Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan PAS.

Muhyiddin dimungkinkan berkuasa kerana sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama