Selasa, 18 Ogos 2020

Seludup Barang Warga Filipina Di Denda RM80,000


TAWAU: Dua pendatang asing tanpa izin warga Filipina masing-masing didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah memiliki barangan kawalan bersubsidi di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh Abdul Milin Milning, 40, dan Komal Timbassal, 25,yang berada di kandang tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham ketika Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman berkenaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Julai 2020, pukul 2.10 pagi, di perairan Pulau Boheyan, dalam daerah Semporna.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa menyimpan barangan kawalan berjadual iaitu 1,250 liter minyak petrol dan empat tong gas LPG dalam sebuah perahu dengan nombor pendaftaran SA 3821/5/F.

Ketika ditahan, tertuduh gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran pemilikan barangan terkawal dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan bagi kes pemilikan tanpa kebenaran barang kawalan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain untuk tidak mengulang kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda RM80,000, gagal bayar dua tahun penjara.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses pengusiran pulang ke negara asal.

Awang Kerisnada turut mengarahkan semua barang yang dirampas, dilupuskan mengikut perundangan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jong Jee Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Sumber BT

Label:

Kecewa Dengan Anak, Ibu Tak Halal Air Susu


Lombok: “Saya tidak maafkan dia. Dia harus bayar air susu saya. Saya penat menjadi ibu, saya bosan,” kata Praya Tiningsih, 52, yang ditujukan khas kepada anaknya, Rully Wijayanto.

Tiningsih berkata demikian selepas Rully, 32, menuntut pembahagian harta pusaka membabitkan tanah seluas 4.2 ekar, rumah serta wang pencen.

Wanita yang berasal dari Semayan, Lombok Tengah itu menolak pembahagian berkenaan dan tidak juga menerima konsep perdamaian dicadangkan Rully, mengkhusus kepada empat perkara.

“Saya tolak perkara pertama. Dia tetap mahu tanah tetapi wasiat bapanya (tanah) tidak boleh dibahagikan,” katanya seperti dilapor Kompas.

Dalam permohonan itu Rully menuntut pembahagian tanah kepada setiap pewaris mengikut hukum faraid.

Kemudian, dia menuntut penjelasan berhubung wang pencen arwah dalam perkara keempat yang ditentang Tiningsih.

“Saya tolak perkara empat kerana pencen itu lebih kepada hak saya,” katanya yang sedih dengan tindakan anaknya.

Menurutnya, tuntutan Rully melanggar kehendak dan pesanan arwah suami yang meminta harta pusaka tidak dibahagikan.

“Ketika hidup dan masih menderita angin ahmar pada 2016, pesan arwah rumah diduduki sekeluarga tidak boleh dibahagikan, dijual dan perlu menjadi rumah bersama,” katanya.

Sementara itu, Rully berkata, pembahagian harta dilakukan untuk mengetahui hak mereka dan supaya tiada pihak luar mengambil kesempatan.

Dia juga menegaskan tidak merosak ataupun menjual rumah pusaka berkenaan, sebaliknya sekadar meminta pengesahan terhadap bahagian masing-masing.

“Nanti jika diputuskan (pihak berkuasa), kita tahu hak kita, adik, mama saya dan supaya tiada yang cuba menuntut harta warisan almarhum bapa,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Rully yang sudah berkeluarga, mula menuntut pembahagian tanah dan wang selepas kecewa kerana ibunya tidak membenarkan dia menambah ruang tamu serta dapur. – Agensi

Label:

Kurang Perpaduan Dalam PN Beri Kelebihan Kepada Warisan, Kata Penganalisis


PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, ketidakupayaan Perikatan Nasional menyelesaikan masalah dalamanya di Sabah membuka jalan untuk Warisan menang dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, PN yang bersatu padu akan memberikan saingan sengit kepada Warisan dan sekutunya, namun masih wujud keraguan terhadap kemampuan Umno dan PPBM mengetepikan perbezaan mereka.

Azmi Hassan
Katanya, persoalan juga timbul mengenai siapa bakal memimpin Sabah dengan bekas ketua menteri, Musa Aman dan ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dikatakan pesaing utama.

“Musa mempunyai pengaruh lebih besar berbanding Bung; kemampuannya untuk mendapat sokongan majoriti ketika pembangkang bercakap mengenai pengaruhnya di Sabah,” kata Azmi sambil menambah sebagai ahli politik berpengalaman, kemampuan Musa dan Bung untuk bekerjasama akan menjadi asas PN yang kuat.

Beliau berkata, PPBM dan Umno juga perlu menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan dipertandingkan. PPBM tidak berada dalam kedudukan kuat untuk membuat tuntutan kerana kewujudan mereka di Sabah di bawah tanggungan Umno.

“PN perlu menunjukkan PPBM Sabah dan Umno benar-benar bebas daripada Putrajaya,” kata Azmi sambil menambah selagi kedua-dua parti itu mempunyai autonomi di Sabah, mereka akan mencari jalan untuk memastikan semua berjalan lancar.

Awang Azman Pawi
Katanya, PRN Sabah penting buat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi kerana cara beliau menyelesaikan pembahagian kerusi dan pemilihan calon tepat untuk memimpin Sabah akan memberi idea kepada ahli Umno mengenai kedudukan mereka dalam PN.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Umno perlu memilih wajah lebih baru berbanding memilih Musa yang sudah menerajui Sabah sejak sekian lama dan Bung yang berdepan perbicaraan rasuah.

Katanya, Warisan memiliki peluang lebih baik kerana mereka dilihat lebih bersatu.

“Untuk menang, PN perlu memastikan hubungan antara Umno dan PPBM kuat. Mereka juga perlu mengetepikan perbezaan mereka, tetapi ini tidak mudah apabila akar umbi mereka sependapat.”

Sabtu lalu, Pemuda PPBM dilaporkan diboo sayap Barisan Nasional di sebuah majlis di Tanjung Malim, Perak, hanya beberapa jam selepas Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu bersetuju menyertai Muafakat Nasional, pakatan antara Umno dan PAS.

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa kemudiannya memohon maaf atas kejadian itu.

Dalam pada itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, walaupun Warisan dan sekutunya dilihat lebih teratur serta bersatu berhubung calon ketua menteri mereka, masih ada banyak masa untuk pembangkang menyelesaikan isu mereka.- FMT

Label:

PN boleh bertahan dengan hanya 111 sokongan MP? - Anwar


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat bertahan lama selepas hampir gagal meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

"Adakah kerajaan ini boleh bertahan hanya dengan 111 sokongan ahli Parlimen atau akan ada lagi episod sogokan dengan segala ugutan dan tawaran pangkat atau jawatan?" soalnya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata demikian mengulas RUU berkenaan yang diluluskan dengan 111 anggota parlimen menyokong, manakala 106 lagi menentang. Lima lagi anggota parlimen tidak hadir.

Mereka yang tidak hadir ialah Maximus Ongkili (PBS - Kota Marudu), Tengku Razaleigh Hamzah (Umno - Gua Musang), Wilfred Madius Tangau (Upko - Tuaran), Shafie Apdal (Warisan - Semporna) dan Christina Liew (PH - Tawau)


Terdapat 222 anggota parlimen dan undian menunjukkan separuh daripada mereka mengundi untuk menyokong RUU tersebut.

RUU itu dibentangkan bertujuan memohon peruntukan tambahan untuk perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7.18 bilion, berikutan penyusunan semula beberapa kementerian, penubuhan kementerian baru dan pembubaran satu kementerian selaras dengan pembentukan kabinet baru pada Mac lalu.

Sementara itu, Anwar berkata PH berpuas hati dengan alasan diberikan tiga anggota Parlimen yang tidak hadir semasa proses undian hari ini atas urusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung kelak.

Tambah Anwar, PH tidak akan berundur dalam perjuangan sebaliknya akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan semangat, kekuatan dan setiakawan baru.

"PH juga bertekad untuk terus berusaha menjadi suara rakyat di Parlimen, sambil meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat rakyat" katanya.

Label:

Isnin, 17 Ogos 2020

COVID-19: 7 kes baharu Kluster Tawar


Sebanyak tujuh kes postif baharu COVID-19 dilaporkan dalam Kluster Tawar setakat tengah hari ini, membabit empat kes di Kedah dan tiga di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini kluster berkenaan sudah merekodkan sebanyak 46 kes.

Beliau berkata, semua kes baharu ini adalah generasi ketiga manakala seramai 1,135 orang sudah disaring dalam kluster ini.

"Di Kedah, seramai 918 disaring dan seramai 39 kes dikesan positif COVID-19 manakala 655 individu negatif dan 224 individu masih menunggu keputusan.

"Seramai 208 individu disaring di Pulau Pinang dengan tujuh kes dikesan positif COVID-19 manakala 175 individu negatif dan 26 individu masih menunggu keputusan.

Label:

PRN Sabah 26 September 2020


Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 di tetapkan pada 26 September 2020 manakala 12 September pula ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon dan 22 September adalah tarikh mengundi awal

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 26 September
Perkara itu diumumkan Dr Azmi yang juga Timbalan Pengerusi SPR.

Bilangan pengundi berdaftar di Sabah adalah seramai 1,124,598 juta orang di Sabah. Jumlah berkenaan adalah yang dikenal pasti untuk membuang undi PRN kali ini.

Label: